KUALA LUMPUR – Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu (MBFM Wilayah Terengganu) membantah tindakan kerajaan negeri itu yang mengeluarkan notis larangan terhadap 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar yang diuruskan FGV Holdings Bhd (FGV).
Menurut pengerusinya, Syahiran Annuar, FELDA menguruskan tanah berkenaan mengikut bidang kuasa persekutuan, perjanjian serta peraturan sedia ada.
“Sebarang tindakan penyitaan atau pembatalan hak guna tanah perlu berlandaskan proses undang-undang, bukan kenyataan politik atau disebabkaN perbezaan pentadbiran.
“Kami menegaskan bahawa komuniti FELDA dan FGV tidak boleh dijadikan mangsa dalam percaturan sedemikian,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tegas Syahiran, kerajaan negeri sepatutnya menjalankan rundingan rasmi bersama FELDA dan FGV sebelum mengambil tindakan.
“MBFM Wilayah Terengganu menggesa kerajaan negeri kembali kepada meja rundingan. Jika benar wujud isu teknikal atau pentadbiran tanah, ia harus diselesaikan secara profesional melalui dokumen, fakta dan kerangka undang-undang, bukan melalui ancaman penyitaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Syahiran berpendirian, tindakan kerajaan negeri itu akan menjejaskan kakitangan peneroka yang bakal kehilangan pendapatan pelbagai latar belakang termasuk kalangan belia.
“Sektor tanaman sawit, kilang, logistik dan perusahaan kecil komuniti FELDA bergantung kepada kestabilan operasi tanah. Sebarang gangguan termasuk tindakan penyitaan akan menjejaskan pendapatan, peluang pekerjaan serta rancangan pembangunan yang sedang dirancang oleh FELDA dan FGV.
“Ini bukan hanya isu pentadbiran tetapi isu periuk nasi rakyat. Kami menegaskan masa depan belia FELDA tidak boleh digadai akibat keputusan yang tidak holistik. Belia masih memerlukan peluang pekerjaan, pendapatan stabil dan keyakinan terhadap masa depan tanah warisan FELDA,” tambahnya.
Terdahulu dilaporkan, FGV diberi tempoh tiga hari dari tarikh serahan notis larangan menceroboh tanah di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar berkuat kuasa hari ini untuk mengeluarkan aset boleh alih.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, selepas tarikh tamat, proses sitaan akan bermula mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan segala barang yang disita akan jadi milik pihak berkuasa kerajaan negeri.
Tempoh rundingan serta persetujuan bersama antara kerajaan negeri serta pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhubung isu yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berakhir semalam.
Sebelum ini media melaporkan, FELDA didakwa gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu.- MalaysiaGazette
















