Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kos pembinaan Kota Madani yang membabitkan pembinaan 10,000 rumah bagi penjawat awam ditanggung Putrajaya Holdings.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaannya dilakukan kerana kini pusat pentadbiran kerajaan itu sudah tidak dapat menampung kediaman kakitangan awam.

“Bukan kota mega, ini bukan menara berkembar. Oleh kerana ia baharu didirikan ia mesti berbentuk (bandar pintar) dan mesra kepada kecerdasan nuatan (AI), juga indah. Jadi apa salahnya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengenai keperluan kerajaan dalam melaksanakan projek mega antaranya Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang atau dikenali sebagai LRT Laluan Mutiara dan Kota Madani.

Anwar yang menyifatkan Rosol seolah-olah tidak berpuas hati dengan penjawat awam kerana tidak mahu pembangunan untuk golongan berkenaan dilaksanakan berkata: “Saya nak dengar Hulu Terengganu pergi ke Putrajaya, bagi tahu penjawat awam yang kamu tidak setuju pembinaan rumah penjawat awam,”.

Bagaimanapun Rosol mencelah dan berkata, beliau bukannya marah kepada penjawat awam, sebaliknya hanya mempertikaikan perbelanjaan besar yang dibuat kerajaan.

Menjawab mengenai LRT Mutiara di Pulau Pinang, Anwar berkata, pertambahan kos bermula daripada RM13 kepada RM17 billion adalah untuk tujuan memanjangkan laluan ke Seberang Prai.

“Contoh fakta dipusingkan. Mengapa Pulau Pinang ada LRT? Mengapa tidak disebut ECRL Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kita tidak dipersoal kerana kita anggap projek itu sudah dilaksanakan cuma bezanya kerajaan sekarang dapat mengurangkan kos dan dapat menentukan subkontraktor kepada tempatan.

“Pulau Pinang selama lima tahun tidak ada projek besar, kena faham LRT ini sebahagiannya perbelanjaan pembangunan sebahagiannya melalui bon yang perlu dibayar balik.

“Peningkatan kerana kita mahu faedah LRT itu menyeberang lautan sehingga ke Seberang Prai tidak boleh hanya di pulau sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast