KUALA LUMPUR – Seramai 200,000 orang pelarian di negara ini akan terlibat dalam Dasar Pengurusan Pelarian (DPP) yang bakal dilaksanakan tahun depan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan tidak mempunyai rekod rasmi jumlah tersebut kerana pendataan dibuat secara keseluruhan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Memandangkan kerajaan tidak memegang data induk pelarian, kerajaan juga tidak menyelenggara data rekod rasmi mengenai pecahan pelarian mengikut data,” katanya sesi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, pengurusan pelarian di Malaysia dilaksanakan melalui DPP yang merupakan dokumen tunggal untuk mengesahkan status individu sebagai pelarian dalam negara.
Ia dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan memperolehi maklumat individu pelarian, dengan maklumat mereka didaftarkan di dalam sistem biometrik untuk pemantauan dan penguatkuasaan, ujarnya.
Jelas Shamsul Anuar, arahan tersebut turut menetapkan semua pelarian yang berada dalam negara dengan atau tanpa dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR perlu melalui proses Penentuan Status Pelarian yang dijalankan kerajaan.
Menurut beliau, sehingga kini Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses melaksanakan pengujian sistem pendaftaran pelarian dan pemohon suaka selain memuktamadkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pendaftaran dan penentuan status pelarian yang setaraf dengan amalan.
Selain itu tambahnya, kementerian itu juga dalam proses memuktamadkan pindaan subperaturan 14, Peraturan-peraturan
Imigresen 1963.
Mengulas lanjut katanya, pelarian yang telah ditentusah status akan diberikan kad DPP yang membenarkan mereka
tinggal sementara di Semenanjung Malaysia secara sah dan memperolehi akses kepada sokongan sosial seperti akses kepada
pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.
“Selain daripada itu, kalau disebut yuran yang mereka perlu bayar untuk mendapatkan permit kerja dan sebagainya masih lagi dalam proses tindakan penelitian oleh Kementerian Sumber Manusia termasuk isu-isu lain masih lagi dalam penelitian kementerian-kementerian lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















