Sampah bertimbun selepas banjir mulai surut di Hatyai. Gambar media sosial

BANGKOK – Hatyai mula memasuki fasa pemulihan setelah air banjir mulai surut.

Semalam, para penduduk kelihatan mula membersihkan rumah masing-masing dan menyusun timbunan barang rosak akibat banjir di sepanjang jalan dalam kawasan majlis perbandaran.

Barangan yang terendam air kini sudah reput menyebabkan seluruh bandar berbau busuk terutamatanya kawasan di sekitar pasar basah dan kedai yang menjual daging sejuk beku, di mana hasil jualan yang rosak mula mengeluarkan bau yang menyengat.

Namun begitu terdapat beberapa kawasan masih kekurangan air untuk kerja-kerja pembersihan.

Lebih 100 lori sampah telah dikerahkan untuk mengalihkan sisa dari kawasan komuniti, dengan matlamat membuka semula jalan dan meringankan beban penduduk. Namun, jumlah sisa yang terlalu banyak menyebabkan ramai menjangkakan kerja pembersihan mungkin mengambil masa lebih tujuh hari.

Lori dari Pejabat Pentadbiran Wilayah (PAO), Jabatan Pengairan Diraja, serta Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) telah mengangkut sisa rosak akibat banjir ke tapak pelupusan sementara di Persimpangan Saphan Dam di Phetkasem.

Sisa tersebut merangkumi pelbagai barang rumah yang musnah seperti perabot kayu, sisa plastik, tilam, pakaian, peralatan elektronik, serta barangan perniagaan tempatan — termasuk daripada peniaga di Pasar Kim Yong dan pasar-pasar lain di sekitar Majlis Perbandaran Hatyai.

Setibanya di kawasan penempatan sementara, jentera penggali akan memuatkan sisa tersebut ke dalam lori enam tayar milik PAO Songkhla, yang kemudian membawanya ke Ko Taeo di Daerah Mueang untuk pelupusan, termasuk pemprosesan di fasiliti penjanaan tenaga daripada sisa.

Mengikut prosedur standard, sisa perlu diasingkan kepada tiga kategori iaitu sisa am atau serpihan yang melibatkan perabot, tilam, bantal dan bahan binaan tercemar; sisa berbahaya iaitu bahan kimia seperti pencuci bilik air, cat, bateri dan peralatan elektronik; dan bahan yang boleh dikitar semula.

Namun, disebabkan jumlah sisa yang terlalu besar di seluruh Hatyai, pengasingan yang sepatutnya belum dapat dilakukan.

Majlis Perbandaran Hatyai menjangkakan kerja pembersihan semua sisa dari komuniti akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu.

Tapak pelupusan Ko Taeo, yang terletak 30 km dari Hatyai, mampu menampung jumlah sisa tersebut dan memprosesnya untuk penjanaan elektrik di loji waste-to-energy.

Rangkaian Kesihatan Kecemasan dari Jabatan Kesihatan memberi amaran bahawa kebimbangan terbesar ialah kebersihan awam, berikutan bau busuk merebak ke kawasan kejiranan berhampiran.

Langkah pembasmian kuman dan penyahbauan telah dijalankan di tapak sisa sementara.

Pegawai kesihatan menjelaskan bahawa pengumpulan sisa dalam tempoh lama bukan sahaja menghasilkan bau busuk yang kuat, tetapi turut menghasilkan gas hidrogen sulfida (gas telur reput), yang menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Bagi mengurangkan kesan ini, pihak berkuasa menggunakan larutan mikrob dan melakukan penyemburan air secara berkala bagi mempercepatkan pereputan dan mengurangkan bau. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast