Mohamad Alamin berkongsi gambar ketika menziarah jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di sebuah hospital pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin merupakan pemimpin yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada negeri Sabah.

Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, Ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah antara ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat dan sudah tentu dalam jangka masa yang panjang beliau telah menaburkan banyak jasa kepada negeri dan negara melalui pelbagai cadangan dan saranan.

Menurutnya, semua jasa yang telah disumbangkan akan tetap dikenang oleh seluruh lapisan rakyat di Sabah.

Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Pengerusi BN Sabah itu juga telah banyak berkorban dan menyumbang kepada Sabah serta negara.

“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan kepada rakyat, negeri Sabah dan negara.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini.

“Didoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin serta orang-orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula cukup sedih apabila mendengar berita kematian Bung Moktar.

Katanya, Allahyarham adalah seorang pejuang dan hero kepada parti tersebut.

“Ya Allah, tidak ada kata-kata yang boleh menghilangkan rasa sedih mendengar berita ini. Saya kehilangan seorang teman dan pemimpin.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada UMNO Sabah.

“Secara peribadi, sosok Allahyarham YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin amat dekat dengan perjalanan politik saya.

“Sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang2 beriman. Alfatihah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, pemergian Bung Mokhtar Radin satu kehilangan besar buat UMNO, khususnya di Sabah, selain kehilangan seorang sahabat yang sentiasa cekal memperjuangkan parti hingga ke akhir hayatnya.

Katanya, Bung Mokhtar merupakan figura politik yang tidak pernah berganjak dalam mempertahankan UMNO di Sabah, meskipun berdepan pelbagai cabaran politik sepanjang kerjayanya.

Menurut beliau, keteguhan pendirian Allahyarham menjadi contoh keberanian dan kesetiaan kepada perjuangan parti.

“Takziah. Semoga roh Allahyarham Bung Mokhtar dirahmati Allah, diampunkan dosanya dan letakkan bersama orang-orang yang soleh,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, pemergian Allahyarham sangat dirasai baik dari kawan mahupun lawan.

Katanya, terlalu banyak kisah antara mereka berdua yang mengajar beliau erti sebenar perjuangan dan kesetiaan dalam persahabatan.

“Seorang hamba Allah yang sentiasa positif disetiap waktu,dan murah dengan senyuman walaupun kita tahu dugaan yang besar sedang beliau hadapi.

“Moga Allah tempatkan arwah datuk bung di kalangan kekasih Allah. Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin kamu akan sentiasa berada di dalam setiap doa kami,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, Parlimen tidak akan sama lagi tanpa kehadiran, ketegasan dan suara Allahyarham.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, arwah Bung Moktar adalah seorang pejuang politik dan masyarakat yang kental dan seorang sahabat yang baik.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen dan wakil rakyat sekian lama, hidupnya telah didedikasi untuk berjasa kepada rakyat terutama di Sabah dan di Kinabatangan khususnya.

“Saya doakan agar roh Allahyarham Bung Moktar Radin dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Innalillahi wainnailaihi raajiuun. Al-Fatihah kepada arwah, dan takziah kepada keluarga,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast