KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas berkaitan keputusan Kabinet merujuk kes Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah sangkaan jahat dan fitnah yang amat tersasar daripada fakta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Fadhli Shaari sepatutnya membaca dan menghayati kenyataan tersebut terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan melulu.
“Tambahan pula, bukankah Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri telah menyatakan kesediaan untuk perkara ini dirujuk ke jawatankuasa berkenaan?” soalnya dalam kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/05/badan-eksekutif-tiada-kuasa-tentukan-urusan-dewan-fadhli/
Terdahulu Fadhli mendakwa, kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menimbulkan kebimbangan serius tentang campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif.
Menurut pemimpin Pas itu, tatacara dan disiplin Ahli Dewan adalah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat sendiri bukan Kabinet.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said sangat jelas dan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa “usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan”.
Ia menunjukkan Menteri Dalam Negeri akan bertindak sepenuhnya berlandaskan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, kata Fahmi. – MalaysiaGazette
















