Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menimbulkan kebimbangan serius tentang campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif.

Sedangkan, tegas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, tatacara dan disiplin Ahli Dewan adalah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat sendiri, bukan Kabinet.

Menurutnya, perkata itu dijamin dengan jelas oleh Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan: “Setiap Majlis boleh dari semasa ke semasa membuat peraturan-peraturan bagi mengawal atur tatacara mesyuaratnya sendiri”.

Tambahnya, peruntukan itu menegaskan bahawa hanya Dewan Rakyat melalui prosedur dalaman yang sah boleh menentukan apa-apa tindakan disiplin atau rujukan terhadap seorang Ahli Parlimen.

Kata beliau, eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan perjalanan usul atau mengarahkan rujukan kepada mana-mana jawatankuasa.

“Lebih khusus lagi, kuasa merujuk perkara kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ditetapkan oleh Peraturan Mesyuarat 80A, yang menyatakan: “Dewan boleh, dari semasa ke semasa, merujukkan apa-apa perkara kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan”.

“Jawatankuasa itu hendaklah menyiasat apa-apa perkara yang dirujuk oleh Dewan dan melaporkan kembali kepada Dewan”.

“Teks ini menunjukkan dengan terang bahawa hanya Dewan, melalui keputusan rasmi yang dibuat dalam persidangannya, boleh merujuk sesuatu isu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Jawatankuasa itu pula hanya boleh bertindak atas rujukan Dewan — bukan arahan Kabinet, bukan keputusan Jemaah Menteri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merujuk kenyataan Azalina hari ini berhubung keputusan Jemaah Menteri supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ketetapan itu dibuat bagi tujuan penelitian selanjutnya, selaras Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semalam, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila di Terengganu dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah ditangguhkan.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menambah, dalam sistem demokrasi berparlimen, kedudukan Parlimen adalah bebas daripada eksekutif.

Sehubungan itu, ujarnya, keputusan Kabinet untuk `menentukan’ perjalanan usul atau memutuskan tindakan terhadap seorang Ahli Parlimen adalah tindakan yang tidak mempunyai asas perundangan.

Tambah beliau, tindakan itu juga mencabul bidang kuasa Dewan Rakyat serta menimbulkan precedent berbahaya terhadap doktrin pengasingan kuasa.

“Urusan Dewan mesti diputuskan di dalam Dewan, oleh Yang Dipertua Dewan, dan menurut Peraturan Mesyuarat, bukan melalui keputusan politik eksekutif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast