Safuwan Baharudin. Foto FB Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor FC mengumumkan tonggak pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin, 34, akan kembali memperkuatkan Gergasi Merah pada 5 Januari depan.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, ia kerana tempoh pinjaman pemain kebangsaan Singapura itu bersama Lion City Sailors dari kelab negara jiran itu telah berakhir.

“Beliau akan menyertai Gergasi Merah semula bagi baki saingan musim 2025/26 dan kepulangannya dijangka dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan kami sepanjang baki musim ini,” kata Selangor FC di Facebook miliknya.

Safuwan menyertai Selangor pada 2019 hingga 2022 sebelum dia menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2023 dan selepas itu kembali semula bersama Gergasi Merah.

Dia yang pernah beraksi bersama PDRM dan Pahang dipinjamkan Selangor ke Lion City Sailors awal musim ini.

Kehadiran semula Safuwan dilihat mampu memperkemaskan benteng Selangor yang ketika ini sudah melepaskan 11 gol dalam 10 aksi Liga Super dan bolos 14 gol bagi lima perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Selangor kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 19 mata selepas membelasah Penang 5-1 di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Skuad kendalian Christophe Gamel itu seterusnya akan menentang Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi aksi terakhir Kumpulan G saingan ACL2, Rabu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast