Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia.

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mencipta sejarah baharu bola sepak dunia dengan rekod tanpa kalah terpanjang dalam liga jika menang atau seri dalam Perlawanan Sumbangsih, Jumaat ini.

Rekod itu akan direalisasi sekiranya mereka menang atau seri menentang Kuching City FC dalam aksi perlawanan berkenaan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri pada pukul 9 malam.

Pertembungan pembuka tirai saingan Liga Super 2026/27 itu bukan sekadar perebutan Piala Sumbangsih, sebaliknya menjadi pentas buat Harimau Selatan memadamkan rekod dunia yang bertahan puluhan tahun.

JDT kini menyamai rekod 108 perlawanan liga tanpa kalah yang diraih kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas selepas menamatkan kempen musim 2025/26 dengan membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1, Mei lalu.

Sekiranya berjaya mengelak kekalahan di SSI nanti, skuad kendalian Xisco Munoz bakal merekodkan perlawanan ke-109 berturut-turut tanpa kalah untuk bergelar pemegang rekod dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia mengakui kejayaan mengekalkan prestasi konsisten sejak 2021 bukan satu tugas mudah memandangkan setiap lawan sentiasa mempunyai motivasi tinggi untuk menumbangkan gergasi domestik itu.

Katanya, rekod tanpa kalah sejak 2021 ini adalah sesuatu yang luar biasa dan berharap JDT dapat merealisasikan impian mencipta rekod dunia pada Jumaat ini.

“Saya pernah bermain dan menyaksikan banyak pasukan yang dominan sepanjang karier saya di Eropah, jadi saya tahu betapa sukarnya untuk kekal tanpa kalah tidak kira sekuat mana sesebuah pasukan itu.

“Semua orang mahu menewaskan anda dan menganggap setiap perlawanan menentang anda seperti satu perlawanan akhir, sama seperti yang berlaku kepada JDT.

“Oleh itu, rentetan perlawanan tanpa kalah yang telah kami capai bersama-sama JDT setakat ini sememangnya sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi pemburuan rekod dunia itu hadir selepas JDT mengesahkan dominasi mutlak bola sepak tempatan dengan menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut tanpa sebarang kekalahan musim lalu.

Selain kejuaraan liga, JDT turut mengekalkan kehebatan dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Kuching City 2-0 pada aksi final musim 2025/26 untuk menjulang trofi berkenaan buat kali keempat berturut-turut.

Pertemuan semula dengan Kuching City selepas kurang tiga bulan perlawanan akhir tersebut dijangka memberikan dimensi menarik buat penyokong bola sepak tanah air.

Keputusan menang atau seri Jumaat ini sudah cukup untuk membolehkan anak-anak buah Harimau Selatan memahat nama dalam buku rekod bola sepak dunia secara rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here