Jey Prabakaran Thevar

KUANTAN– Belum puas menundukkan had kemampuan manusia, atlet kecergasan negara Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali sebagai KJEY kini kembali dengan misi lebih ekstrem apabila menyasarkan 9,000 ulangan senaman dalam cubaan mencipta rekod baharu Asia.

Menariknya, cubaan terbaharunya untuk mencipta rekod dalam Asia Book of Records itu akan mendapat sokongan penuh serta tajaan rasmi daripada Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan dan dijadualkan berlangsung pada 1 November depan, di Nethaji Hall, Kuala Lumpur.

Lebih mencabar, atlet berusia 30 tahun itu bakal melakukan 3,000 squat, 3,000 leg extensions dan 3,000 jumping jacks dalam satu misi di bawah kategori Maximum Number of Exercise Repetitions by an Individual.

“Cabaran kali ini bukan sekadar mahu menambah koleksi rekod peribadi, sebaliknya membawa misi lebih besar untuk membuktikan kemampuan atlet tempatan khususnya golongan belia India Malaysia di pentas Asia dan antarabangsa.

“Cubaan rekod ini bukan semata-mata untuk pencapaian peribadi saya. Ia juga merupakan satu platform untuk mempromosikan MIFIT serta memperkukuhkan misi kami dalam melahirkan lebih ramai belia India Malaysia yang aktif dalam bidang sukan dan kecergasan,” katanya.

Sebagai Presiden Malaysian Indian Fitness Association (MIFIT), KJEY berkata, sokongan berkenaan memberi suntikan semangat kepadanya untuk terus mengembangkan budaya kecergasan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, MIFIT diwujudkan dengan visi membuka lebih banyak peluang, memberikan bimbingan dan membina komuniti sukan serta kecergasan yang lebih kukuh khususnya dalam kalangan belia India.

“Saya amat berterima kasih kepada Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan kerana mempercayai visi ini dan memberikan sokongan kepada cubaan Asia Book of Records saya serta usaha pembangunan MIFIT,” katanya.

Cabaran 9,000 ulangan itu bukanlah eksperimen pertama KJEY menolak had kemampuan fizikal.

Atlet kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sebelum ini mencipta rekod apabila melakukan senaman kardio dan angkat berat tanpa henti selama 12 jam, sebelum memperbaharuinya kepada 13 jam yang diiktiraf sebagai rekod Asia.

Pada 2024, KJEY sekali lagi mengejutkan dunia kecergasan apabila berjaya melakukan cabaran sama selama 15 jam tanpa henti, sekali gus mencipta rekod baharu yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) dan Influencer Book of World Records.

Lebih membanggakan, pada Jun lalu, KJEY mencipta rekod dunia ketiganya selepas berjaya menamatkan cabaran kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam, bermula jam 4 pagi hingga 11 malam di Kuala Lipis.

Pencapaian itu turut direkodkan dalam MBOR dan Influencer Book of World Records.

Beliau juga sebelum ini mencipta hatrik rekod kebangsaan menerusi tiga disiplin sama iaitu jumping jacks, leg extensions dan squats dengan masing-masing mencatatkan 3,000 ulangan.

Justeru, cabaran pada November ini seolah-olah menjadi medan baharu buat KJEY untuk menguji semula kemampuan dirinya, kali ini dengan sasaran mengukuhkan kedudukan dalam arena rekod Asia.

Program tersebut akan diketuai dan diselaraskan oleh Ketua Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan, Nath Muniapah, yang memainkan peranan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Nath Muniapah

Menurut KJEY, sokongan tersebut bukan sahaja membantu menjayakan cubaan rekod, malah diharap membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk melihat sukan dan kecergasan sebagai medan membina disiplin, keyakinan diri dan pencapaian.

“Saya mahu golongan muda melihat bahawa kita tidak perlu takut mencabar diri sendiri. Dengan disiplin, latihan dan sokongan yang betul, kita mampu pergi lebih jauh,” tambahnya.

Anak jati Pahang ini sekali lagi berkobar-kobar membawa nama Malaysia ke pentas Asia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here