Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor

KUALA LUMPUR – Ketelusan peluang pekerjaan bukan lagi satu pilihan, ia kini menjadi keperluan asas dalam pembinaan pasaran buruh moden yang adil dan inklusif.

Itu intipati pindaan Seksyen 45F Akta Sistem Insurans Pekerjaan yang sedang digerakkan kerajaan untuk memastikan tiada kekosongan pekerjaan tersembunyi dan semua pekerja Malaysia berpeluang melihat serta memohon pekerjaan yang wujud dalam negara.

Pindaan yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas akan dibawa ke Dewan Negara sebelum diluluskan sepenuhnya untuk dikuatkuasakan kelak.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, menyifatkan pindaan ini sebagai reformasi penting yang mengembalikan keadilan asas kepada pekerja Malaysia.

“Jika ada pekerjaan di Malaysia, pekerja Malaysia sepatutnya boleh nampak pekerjaan itu. Pindaan ini memastikan maklumat pekerjaan tidak lagi berlegar dalam kelompok kecil atau kenalan terpilih sahaja,” katanya.

MYFutureJobs: Menjadi ‘Lebuh Raya Awam’ Untuk Peluang Pekerjaan

Pindaan Seksyen 45F Akta SIP menyaksikan majikan hanya perlu mengumumkan kekosongan pekerjaan di MYFutureJobs yang berperanan sebagai platform awam kebangsaan, pada masa yang sama mereka masih bebas menggunakan JobStreet, LinkedIn, agensi pengambilan mahupun WhatsApp.

Gambar hiasan

Menurut Abdul Halim, ia bukan menutup saluran swasta tetapi menjadikan MYFutureJobs lapisan asas nasional, supaya kekosongan tidak tersembunyi daripada pekerja biasa.

Analogi mudahnya MYFutureJobs ialah lebuh raya awam tanpa tol, manakala portal pekerjaan swasta dan agensi ialah kenderaan pelbagai jenis yang menggunakannya.

Data Sudah Menunjukkan Keberkesanan Sistem

MTUC menegaskan platform MyFutureJobs telah menunjukkan keberkesanan sebagai penyumbang utama penempatan pekerjaan negara menerusi data dan statistik iaitu:

  • 2024: >200,000 penempatan kerja daripada >1.5 juta kekosongan berdaftar
  • Sehingga 30 November 2025: ~200,000 penempatan daripada >1.3 juta kekosongan, disokong lebih 170,000 majikan berdaftar

“Ini bukan eksperimen. Sistem ini telah terbukti memberi akses peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat,” kata Abdul Halim.

Kebaikan Untuk Majikan: Perkhidmatan Percuma, Padanan AI dan Push Notification

Di sebalik kebimbangan industri yang sudah dijelaskan oleh Perkeso baru-baru ini, pindaan yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia membawa manfaat besar kepada majikan.

Perkeso menyediakan pelbagai kemudahan buat majikan tanpa sebarang kos tambahan antara lain bantuan pengambilan pekerja; pra-saringan calon; padanan calon automatik; dan jemputan ke karnival kerjaya.

MyFuture Job: Pengalaman Positif Syarikat

Gambar hiasan

Pelbagai syarikat berkongsi pengalaman menggunakan PyFutute Job sebagai platform untuk mengambil pekerja tanpa banyak kerenah dan hasilnya memang memuaskan.

  • APAR Technology yang menggunakan MYFutureJobs untuk bakat teknologi maklumat berkemahiran tinggi menggambarkan sistem sebagai mudah dengan padanan AI yang semakin pintar.
  • BSN melaporkan platformnya “seakan LinkedIn” dengan push notification yang membantu mereka menemukan calon terbaik untuk jawatan khusus.
  • Parkson menegaskan proses pengiklanan kekosongan hanya memerluan beberapa minit, dan mereka berjaya merekrut posisi kritikal seperti Senior IT Manager melalui portal ini.

“Ini bukan sekadar kewajipan undang-undang tetapi satu perkhidmatan untuk membantu majikan mendapatkan bakat terbaik,” kata Abdul Halim.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada minggu lepas tidak sama sekali bertujuan menyusahkan perniagaan.

“Dengan tempoh moratorium yang sesuai dan pelaksanaan praktikal untuk PKS, kita tidak membunuh pasaran sebaliknya kita mengemas dan memperkemaskan pasaran buruh,” ujar Abdul Halim.

Gambar hiasan

Beliau menambah integrasi masa depan mungkin membolehkan konsep “post sekali, keluar banyak saluran”, menjadikan MYFutureJobs sebagai pusat agihan nasional kepada portal swasta yang efisien untuk majikan, telus untuk pekerja.

Pindaan Untuk Masa Depan Yang Lebih Adil

Pada asasnya, pindaan Seksyen 45F membawa tiga kebaikan utama iaitu ketelusan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia; saluran pengambilan percuma dan cekap untuk majikan; dan pasaran kerja yang lebih data-driven, bersaing dan inklusif.

“Jika kita benar-benar mahu bakat terbaik Malaysia menyertai pasaran kerja, jangan takut dengan platform awam. Biarlah semua pekerja melihat peluang yang wujud,” kata Abdul Halim.

Minggu lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU SIP (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan insuran pekerja.

Pindaan tersebut juga akan melaksanakan moratorium sehingga dua tahun sebelum menguatkuasakan pindaan yang melibatkan kewajipan majikan memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast