Oleh: Muhammad Nur Akmal Adib Abdul Samad
MALAYSIA telah mengecapi kemerdekaannya sejak lebih 68 tahun yang lalu. Tahun ini, negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-69. Selama hampir tujuh dekad rakyat menikmati anugerah penuh bermakna ini yang terus dihayati dan disyukuri. Laungan keramat “merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bukan sekadar simbolik pembebasan tanah air daripada cengkaman penjajah, tetapi membawa makna yang lebih mendalam; kemartabatan dan kedaulatan bangsa, serta kesatuan dan perpaduan yang utuh dalam kepelbagaian.
Sejak dahulu, negara ini dikenali dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama yang hidup bersama secara harmoni. Malah, Malaysia sering menjadi contoh bagaimana keharmonian dapat dibina dalam sebuah masyarakat yang kaya dengan
kepelbagaian.
Tempoh kebersamaan selama hampir tujuh dekad sewajarnya menambahkan rasa cinta, memupuk semangat kekitaan serta mengeratkan lagi perpaduan, sekalipun hakikatnya bibit kebencian mungkin tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Amat
mendukacitakan apabila masih timbul isu yang membabitkan perkauman dan agama, serta episod yang menyemarakkan api kebencian antara satu sama lain walaupun setelah sekian lama berkongsi “rumah” yang sama.
Hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk perlu diterima, walau apa jua idea, fahaman atau hujah yang dikemukakan untuk menolaknya. Oleh itu, tidak dapat tidak, fokus utama harus diberikan kepada usaha mengekalkan
keharmonian dalam kepelbagaian, bukannya kepada persoalan tentang siapa yang perlu dijatuhkan mahupun disingkirkan.
Dengan kesatuan dan perpaduan yang utuh serta teguh, negara mampu mengorak langkah lebih jauh dan mencapai lebih
banyak kejayaan. Banyak pencapaian pada peringkat nasional mahupun antarabangsa turut lahir daripada semangat kesatuan rakyat Malaysia yang majmuk.
Dalam hal ini, Rukun Negara merupakan tonggak dan prinsip asas yang harus terus diterapkan serta disuburkan dalam jiwa rakyat Malaysia. Diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara lahir antara lainnya daripada keperluan membentuk perpaduan yang lebih kukuh selepas negara melalui episod getir hubungan kaum.
Lima prinsipnya; Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, seharusnya difahami dan dihayati dengan sesungguhnya oleh setiap rakyat Malaysia. Rukun Negara menyediakan panduan tentang cara hidup bersama dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian.
Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan menegaskan kepentingan nilai ketuhanan dan moral dalam pembentukan masyarakat. Dalam konteks meraikan kepelbagaian, ajaran agama pada asasnya mengangkat nilai keamanan, kebaikan dan keharmonian. Inilah semangat yang perlu disuburkan dalam jiwa rakyat walaupun berbeza agama dan kepercayaan, keharmonian tetap boleh dikecapi bersama.
Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula menuntut rakyat menumpukan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja yang memerintah negeri masing-masing tanpa mengurangi kesetiaan kepada negara. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja bukan sahaja menjadi simbol perpaduan tetapi turut menjadi payung yang memayungi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, supaya tiada yang ditinggalkan dan diabaikan.
Dalam masa yang sama, prinsip ketiga dan keempat Rukun Negara menuntut rakyat menjunjung Perlembagaan dan menghormati kedaulatan undang-undang negara. Di sinilah termaktub kerangka asas atau “hitam putih” yang mengatur hak, tanggungjawab dan kedudukan pelbagai kelompok dalam negara. Misalnya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di samping memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Kebebasan beragama pula diperuntukkan melalui Perkara 11. Begitu juga, Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain. Justeru, prinsip-prinsip ini perlu difahami dan dihayati secara menyeluruh melalui kefahaman yang sebenar agar setiap pihak menghormati kerangka Perlembagaan serta hak dan kepentingan masyarakat Malaysia yang majmuk.
Dari sudut yang lain, prinsip Kedaulatan Undang-undang turut menegaskan bahawa setiap individu tertakluk pada undang-undang negara. Selaras dengan prinsip ini, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan kesamarataan serta perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Seseorang tidak seharusnya dilayan secara berbeza dan prejudis dalam penguatkuasaan undang-undang hanya kerana latar belakangnya; baik kerana agama atau bangsanya. Undang-undang juga menjadi mekanisme untuk mengatur kehidupan bermasyarakat agar keamanan, keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara.
Akhir sekali, rakyat Malaysia seharusnya mengamalkan cara hidup yang berteraskan kesopanan dan kesusilaan, selaras dengan citra sebuah masyarakat yang beradab. Tatasusila dan akhlak yang mulia mendorong budaya hidup yang harmoni, yang menghormati dan meraikan perbezaan, bertoleransi serta saling membantu tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan anutan agama.
Justeru, pendidikan dan penghayatan terhadap Rukun Negara perlu terus disemai, terutama dalam kalangan generasi muda yang bakal mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks. Hanya dengan pemikiran yang matang dan rasional,
disulam dengan semangat patriotisme serta disuburkan dengan rasa kebersamaan,
cabaran-cabaran ini dapat diatasi dan sekali gus melahirkan sebuah negara yang cemerlang dalam segenap aspek. Pada akhirnya, Rukun Negara tidak seharusnya sekadar dihafal atau dilafazkan, tetapi mesti diterjemahkan melalui cara kita b erfikir, bertindak dan hidup bersama. Di situlah asas sebenar sebuah Malaysia yang bersatu dan mampan.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.
















