JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memindahkan 273 peniaga Bazar Karat JB ke Jalan Syed Mufti di bandar raya ini tahun depan.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Hafizz Ahmad berkata, tapak baharu tersebut sedang dalam pembikinan dan dijangka siap pertengahan tahun depan.
Jelasnya, ketika ini peniaga Bazar Karat JB dari lokasi asal di Jalan Segget ditempatkan sementara ke tapak niaga Jalan Duke sejak 25 November lalu.
“Bazar Karat yang menjadi ikon pelancongan Johor Bahru akan melalui proses penambahbaikan dengan khemah peniaga lebih tersusun dan pemasangan lampu hiasan bagi mewujudkan suasana lebih moden dan teratur.
“Kita mahu ia menjadi kawasan street market yang hidup, teratur dan menarik bukan sekadar tempat menjual barangan. Apabila siap nanti, ia akan menjadi nadi baharu bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall bersama-sama peniaga Bazar Karat JB di Majlis Bandaraya Johor Bahru di Menara MBJB, Bukit Senyum di sini hari ini.
Mohd Hafizz berkata, selain peniaga sedia ada, MBJB turut menyediakan tapak kepada peniaga tiada lesen yang dikenal pasti di beberapa kawasan di bandar raya ini.
MBJB katanya, turut menyediakan tapak tambahan bagi menampung kira-kira 40 hingga 50 peniaga tiada lesen terbabit yang menjual makanan dan pakaian.
“Kita utamakan kumpulan ini untuk dipindahkan ke tapak baharu. Borang permohonan sudah diedarkan dan penilaian sedang dibuat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Fuad Rahmat berkata, pelbagai aduan dan cadangan dikemukakan peniaga pada sesi townhall berkenaan.
Segala masalah diajukan dan peniaga menerima apa juga pembangunan yang akan dibuat MBJB.
“Datuk Bandar ada maklumkan projek ini untuk Tahun Melawat Johor 2026. Dalam sesi townhall, beberapa gambar landskap yang pecah di kawasan bandar yang perlu dibetulkan, jika tidak akan mencacatkan pemandangan terutama kepada pelancong,” ujarnya.
Jelas Fuad, Bazar Karat JB dibuka pada 2009 dengan jualan barangan antik dan retro seperti jam tangan, aksesori, koleksi lama seperti pakaian dan barangan elektrik. – MalaysiaGazette
















