KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyatakan 10 tuntutan yang disifatkan beliau sebagai perkara nasional penting kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sepucuk surat sepanjang lima muka surat, Ahli Parlimen Bagan itu menekankan beberapa perkara yang sudah berulang kali beliau nyatakan sebelum ini antaranya memperuntukkan 10 peratus peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera berbanding peruntukan yang diberikan kepada kaum Bumiputera serta mendesak supaya tuntutan 40 peratus hasil Sabah diselesaikan segera.
Bekas Menteri Kewangan itu turut menuntut Perdana Menteri membuat kajian untuk mengecualikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada e-invois dan sebagai langkah sementara, kerajaan perlu menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta.
“Ini harus disegerakan kerana peraturan e-invois akan dikuatkuasakan untuk hasil tahunan perniagaan antara RM1 juta ke RM5 juta mulai Januari 2026,” katanya.
Beliau juga meminta Anwar untuk mengkaji semula atau membekukan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perniagaan di Malaysia.
Menurut beliau, peluasan skop SST yang dilaksanakan mulai 1 Julai lalu telah menambah beban kos kepada perniagaan terutama sekali Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Guan Eng juga menuntut supaya kerajaan menghentikan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus kepada pekerja asing kerana ia membebankan.
Beliau juga mahu cukai 2 peratus pendapatan dividen yang melebihi RM100,000 harus dikenakan ke atas syarikat Bursa Malaysia sahaja.
Selain itu, beliau menuntut Perdana Menteri memperuntukkan RM20 bilion bagi bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026 dan ia perlu diselesaikan segera.
Guan Eng turut menggesa kerajaan untuk memansuhkan penalti RM10,000 kepada majikan yang gagal memakumkan sebarang kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu kepada Perkeso.
Tegasnya, penalti tersebut amat membebankan majikan.
Guan Eng turut meminta kerajaan mewajibkan 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan di samping mengenakan 10 peratus SST ke atas bijih besi import dan tempatan; arang batu kok metalurgi, kok serta memansuhkan SST ke atas sekerap keluli. -MalaysiaGazette

















Lawak bodoh.. Guan Eng ni laa yg kutuk dan hapuskan GST.. lepas tu dia yg perkenalkan SST.. lepas tu dia plak yang serang SST