KUALA LUMPUR – Pendedahan terkini berhubung situasi jenayah melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak atau ‘child sexual abuse material’ (CSAM) di negara ini wajar membuka mata dan kesedaran semua pihak.
Dalam tempoh hanya seminggu antara 23 hingga 30 September lalu misalnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya merampas lebih 880,000 fail berkaitan CSAM menerusi penahanan 31 individu dalam 37 serbuan yang dilakukan.
Lebih membimbangkan, penahanan itu turut melibatkan golongan remaja, sekali gus menunjukkan generasi muda turut terdedah kepada risiko jenayah CSAM, sama ada sebagai mangsa; pelaku atau penyebar kepada bahan-bahan tersebut di dunia siber.
Ketika pelbagai langkah pencegahan diambil oleh kerajaan bagi menangani jenayah itu sama ada menerusi kempen kesedaran atau penguatkuasaan undang-undang, namun kawalan utama terletak pada sumber asal jenayah itu sendiri iaitu kemudahan Internet khususnya platform media sosial.
Disebabkan itu, sekatan awal pada titik muat naik merupakan langkah pencegahan paling kritikal dalam membendung penyebaran CSAM kerana ia menghalang bahan tersebut daripada memasuki rangkaian digital sejak awal lagi.
Apabila imej terlarang CSAM tidak sempat dimuat naik, ia tidak dapat disalin, dipos semula atau diedarkan dalam kumpulan tertutup yang sering menjadi pusat penyebaran bahan eksploitasi.
Pengesanan awal itu termasuk melalui teknologi seperti hash-matching dan kecerdasan buatan (AI) juga dapat memutuskan rantaian penyebaran sebelum ia menjadi lebih sukar untuk dikesan.
Kawalan akses di peringkat awal juga berfungsi sebagai `pagar pertama’ yang menghalang kanak-kanak daripada berinteraksi dengan akaun media sosial yang tidak dikenali dan kandungan berbahaya sebelum risiko sempat berlaku.
Grooming lazimnya bermula dengan interaksi kecil mesej ringkas, pujian atau permintaan berhubung yang kemudiannya meningkat kepada manipulasi.
Dengan menyekat mesej masuk daripada akaun media sosial asing, mengehadkan fungsi komunikasi tertentu atau menapis kandungan mengikut umur, risiko itu dapat dikeluarkan pada peringkat paling awal.
Langkah itu juga sekali gus mengurangkan risiko yang mendedahkan kanak-kanak kepada situasi sosial yang tidak mampu dinilai dengan tepat, memandangkan mereka belum mempunyai kemahiran danger detection atau boundary setting yang matang.
Dalam erti kata lain, kawalan akses itu mampu melindungi mereka sebelum risiko sempat membentuk hubungan eksploitatif.

Perkara itu seperti dikongsikan pensyarah psikologi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam yang turut menjelaskan, dari sudut psikologi perkembangan, sekatan awal penting kerana setiap kali imej eksploitasi kanak-kanak dilihat atau dikongsi, mangsa berpotensi mengalami apa yang disebut sebagai “trauma berulang”.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan), Fakulti Ekologi Manusia UPM menambah, kanak-kanak dan remaja belum memiliki kematangan kognitif dan emosi untuk memahami atau mengurus implikasi pendedahan berulang tersebut.
Situasi itu jelasnya, menjadikan sekatan awal di peringkat platform media sosial atau Internet bukan sahaja keperluan teknikal, tetapi juga intervensi psikologi yang melindungi kesejahteraan jangka panjang golongan tersebut.
Dalam hal ini, tambah beliau, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun lebih terdedah kepada bahaya CSAM kerana perkembangan neurologi dan psikologi mereka yang masih belum matang sepenuhnya.

Pada usia itu juga, ujarnya, bahagian otak yang mengawal penilaian risiko, kawalan impuls dan keupayaan membuat keputusan rasional iaitu prefrontal cortex masih berada dalam fasa perkembangan.
Sebaliknya, menurut Mohamad Naqiuddin, sistem ganjaran otak sangat aktif, menjadikan mereka lebih mudah dipengaruhi oleh pujian, perhatian dan hubungan sosial palsu yang sering digunakan oleh pemangsa digital dalam proses grooming.
“Selain itu, dari perspektif pembentukan identiti, mereka yang berada pada peringkat remaja awal memerlukan penerimaan sosial, menjadikan mereka lebih mudah mempercayai individu asing di Internet yang memberi perhatian positif.
“Gabungan faktor neurobiologi dan psikologi inilah yang menyebabkan golongan bawah 16 tahun menjadi sasaran utama eksploitasi dalam talian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas mengenai ambang usia 16 tahun yang diperkenalkan sebagai langkah pencegahan pula, Mohamad Naqiuddin berkata, ia berdasarkan bukti neuropsikologi yang menunjukkan bahawa kapasiti membuat keputusan rasional, kebolehan menilai risiko, dan kawalan impuls meningkat secara ketara selepas usia 15–16 tahun.

Sebelum usia itu, remaja lebih dipengaruhi emosi dan stimulasi sosial, menjadikan mereka lebih mudah diperdaya oleh pujian, ganjaran emosi dan ancaman yang digunakan oleh pemangsa (groomers).
Selain itu, data global juga menunjukkan kadar grooming tertinggi berlaku dalam lingkungan umur 10 hingga 15 tahun, menjadikan had umur 16 tahun sebagai garis perlindungan yang berasaskan bukti, bukan angka arbitrari.
“Justeru, langkah menetapkan ambang usia 16 tahun adalah satu pendekatan yang diinspirasikan oleh perkembangan kognitif remaja, bagi memastikan mereka hanya memasuki ruang digital yang kompleks apabila mereka telah mempunyai keupayaan yang lebih matang untuk mengurus risiko,” katanya.
Disebabkan itu, Mohamad Naqiuddin menjelaskan, penguatkuasaan terhadap platform media sosial sangat penting kerana platform merupakan pintu gerbang terakhir sebelum kandungan yang bersifat selamat mahupun bahaya sampai kepada pengguna.
Menurut beliau, platform media sosial memiliki keupayaan teknologi yang jauh lebih besar daripada pengguna biasa, termasuk sistem hash-matching seperti PhotoDNA, kecerdasan buatan untuk mengesan tingkah laku grooming, serta algoritma yang mampu mengesan imej deepfake atau imej yang disunting.
Ujarnya, tanpa penguatkuasaan yang jelas seperti melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (OnSA), platform mungkin memilih pendekatan yang tidak konsisten atau terlalu reaktif, sering kali memberi keutamaan kepada kepentingan komersial berbanding keselamatan kanak-kanak.
“Oleh itu, penguatkuasaan tegas dapat memastikan platform memikul tanggungjawab yang sepadan dengan kuasa teknikal yang mereka miliki,” katanya.
Mengulas mengenai keberkesanan sistem pelaporan, semakan dan sekatan pula, Mohamad Naqiuddin berkata, pendekatan itu juga disifatkan mustahak kerana ia berfungsi sebagai mekanisme tindak balas segera yang dapat meminimumkan tempoh pendedahan kanak-kanak kepada kandungan atau individu berbahaya.
Ujarnya, apabila laporan boleh dibuat dengan mudah, ia meningkatkan kemungkinan pengguna melaporkan kandungan mencurigakan.
Tambah beliau, semakan yang pantas juga memastikan isu tersebut dikenal pasti dalam masa singkat, manakala sekatan automatik menghalang pelaku mengulangi kesalahan dengan menggunakan akaun baharu atau teknik manipulasi lain.
“Tindakan pantas ini amat penting kerana setiap minit kandungan CSAM yang kekal dalam talian meningkatkan potensi trauma berulang kepada mangsa.
“Tambahan pula, maklum balas yang tegas memberi isyarat jelas kepada komuniti digital bahawa interaksi berbahaya tidak akan ditoleransi, dan ini membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang kondusif untuk perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak,” katanya.
Dalam masa sama, tambah beliau, kepantasan, konsistensi dan akauntabiliti juga lebih penting daripada angka kandungan yang berjaya diturunkan kerana dalam isu CSAM, masa adalah faktor kritikal.
Ini kerana, ujarnya, satu imej yang berada di dalam talian walaupun hanya beberapa minit boleh disalin, dimuat turun dan dipos semula ke berpuluh-puluh saluran lain, menjadikan penurunan awal tidak lagi berkesan.
Menurutnya, tindakan yang pantas menghalang proses itu dan meminimumkan trauma berulang kepada mangsa kerana mereka tidak perlu hidup dengan kesedaran bahawa imej eksploitasi mereka terus tersebar.
Tambahnya, konsistensi pula memastikan pelaku tidak dapat mengeksploitasi kelonggaran atau kelemahan penguatkuasaan, manakala akauntabiliti memastikan platform benar-benar melaksanakan peranan mereka dan bukan sekadar bergantung kepada laporan pengguna.
“Dari perspektif psikologi, kanak-kanak yang menjadi mangsa mudah mengalami kesan jangka panjang terhadap pembentukan identiti, hubungan interpersonal dan kesejahteraan emosi.
“Oleh itu, tindakan yang diambil oleh penyedia platform mesti bersifat cepat, berkesan dan boleh dipertanggungjawabkan untuk meminimumkan kerosakan psikologi yang mungkin dialami mangsa,” kataya. – MalaysiaGazette
















