Perbahasan mengenai AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai pertentangan antara kerajaan dengan mahasiswa, atau antara kawalan dengan kebebasan.

Oleh: Rajan Munusamy

PENGUMUMAN mengenai hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuka satu lembaran baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara. Pemansuhan sebuah akta tidak seharusnya dilihat sebagai titik akhir, sebaliknya sebagai permulaan kepada satu persoalan yang lebih besar: apakah bentuk tadbir urus universiti yang ingin kita bina selepas AUKU?

Perbahasan mengenai AUKU selama ini sering berkisar tentang sama ada akta tersebut wajar dikekalkan, dipinda atau dimansuhkan. Setiap pendirian mempunyai asas dan pertimbangan tersendiri.

Namun, dalam melihat perkembangan terkini, perbincangan wajar bergerak daripada persoalan “mansuh atau tidak” kepada persoalan yang lebih substantive iaitu bagaimana kuasa, autonomi, kebebasan dan akauntabiliti hendak diseimbangkan dalam sistem pendidikan tinggi masa hadapan?

Persoalan ini menjadi lebih relevan apabila Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) sebenarnya telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035. Di bawah Lonjakan 5: Tadbir Urus Tangkas dan Berdaya Tahan, OHEA dicadangkan bagi menyatukan serta mengharmonikan perundangan berkaitan pendidikan tinggi yang sedia ada.

Pelan Tindakan RPTM 2026-2028 meletakkan pembangunan OHEA dalam Gelombang 1, iaitu fasa pembinaan rangka kerja asas, manakala pelaksanaan penuh OHEA dirancang dalam Gelombang 2 pada 2029-2031. Maka, perkembangan berkaitan AUKU wajar dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi tadbir urus pendidikan tinggi yang lebih luas, bukan sekadar penggantian sebuah akta dengan sebuah akta yang lain.

Pemansuhan bukanlah titik akhir
AUKU diperkenalkan pada tahun 1971 dalam konteks pendidikan tinggi yang sangat berbeza daripada keadaan hari ini. Lebih lima dekad kemudian, peranan universiti telah berkembang dengan ketara. Universiti bukan sahaja institusi pengajaran dan pembelajaran, tetapi turut menjadi pusat penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, keusahawanan dan penyelesaian
pelbagai persoalan masyarakat.

Mahasiswa pula hidup dalam persekitaran yang jauh lebih terbuka dan terhubung. Teknologi telah mengubah cara ilmu dihasilkan dan disebarkan, sementara masyarakat mempunyai jangkaan yang semakin tinggi terhadap ketelusan, keberkesanan dan akauntabiliti institusi awam.

Dalam konteks ini, adalah munasabah sekiranya kerangka perundangan pendidikan tinggi dinilai semula agar lebih sesuai dengan keperluan semasa. Namun, pada masa yang sama, universiti awam tetap memerlukan kerangka undang-undang yang jelas. Universiti mengurus dana awam, aset, sumber manusia, penyelidikan dan pelbagai kepentingan masyarakat.

Justeru, apabila AUKU dimansuhkan, perhatian tidak seharusnya terhenti pada perkataan “mansuh”. Persoalan yang lebih penting ialah apakah yang akan menggantikannya?

Di sinilah OHEA memberikan peluang yang lebih besar. Ia boleh menjadi ruang untuk melihat semula keseluruhan ekosistem perundangan dan tadbir urus pendidikan tinggi, bukannya sekadar memindahkan peruntukan daripada satu akta kepada akta yang lain.

Autonomi dan akauntabiliti perlu bergerak seiring
Antara harapan utama yang sering dikaitkan dengan reformasi AUKU ialah peningkatan autonomi universiti. Autonomi sememangnya penting. Universiti perlu mempunyai ruang untuk membuat keputusan berdasarkan kepakaran, keperluan institusi dan keadaan semasa tanpa campur tangan yang tidak wajar. Namun, autonomi tidak seharusnya difahami sebagai
kebebasan daripada akauntabiliti.

Sebaliknya, satu prinsip yang wajar diberi perhatian ialah: Semakin besar autonomi yang diberikan, semakin kukuh mekanisme akauntabiliti yang perlu diwujudkan.

Universiti awam mengurus kepentingan yang besar. Ia mengendalikan sumber awam, aset, peruntukan, penyelidikan dan perkhidmatan yang memberi kesan kepada masyarakat. Oleh itu, autonomi perlu disertai dengan kepimpinan yang berintegriti, ketelusan dalam pembuatan keputusan, kawalan dalaman yang berkesan, pengurusan risiko, pengurusan konflik
kepentingan, mekanisme aduan dan saluran yang jelas.

RPTM sendiri menggariskan aspirasi untuk memberi ruang kepada institusi pendidikan tinggi beroperasi dengan lebih autonomi, di samping memperkukuh mekanisme akauntabiliti bagi memastikan ketelusan dan kepercayaan.

Pada hemat saya, di sinilah cabaran sebenar reformasi ini. Kita mungkin mudah bersetuju bahawa universiti memerlukan lebih banyak autonomi. Namun, persoalan yang lebih sukar ialah bagaimana memastikan autonomi tersebut digunakan dengan baik.

Kebebasan akademik dan tanggungjawab
Perkara yang sama boleh dilihat dalam konteks kebebasan akademik. Universiti seharusnya menjadi ruang untuk berfikir, bertanya, mencabar idea dan menghasilkan pengetahuan baharu. Kebebasan akademik merupakan elemen penting dalam memastikan universiti kekal sebagai institusi intelektual yang dinamik.

Namun, kebebasan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab. Kebebasan akademik perlu disertai dengan etika penyelidikan, ketepatan fakta, integriti ilmu dan penghormatan terhadap prinsip profesional. Begitu juga dengan kebebasan bersuara mahasiswa. Mahasiswa perlu mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan, membincangkan isu masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

Universiti yang matang tidak seharusnya takut kepada perbezaan pandangan. Namun, kebebasan juga perlu disertai kesedaran bahawa setiap kebebasan membawa tanggungjawab. Cabaran sebenar bukanlah bagaimana memilih antara “kebebasan” dan “kawalan”, tetapi bagaimana membina budaya yang membolehkan kebebasan diamalkan secara bertanggungjawab.

Jangan hanya mengubah undang-undang, ubah juga budaya
Satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah bahawa undang-undang hanyalah salah satu komponen tadbir urus. Undang-undang yang baik perlu disokong oleh kepimpinan yang baik, sistem kawalan yang berkesan dan budaya organisasi yang menghayati integriti serta menghargai akauntabiliti.

Jika kerangka undang-undang berubah tetapi budaya penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan, ketidaktelusan dan kelemahan pertanggungjawaban tidak berubah, maka reformasi mungkin hanya menghasilkan perubahan pada struktur, bukan perubahan pada budaya. Dalam konteks ini, integriti perlu dilihat sebagai sebahagian daripada budaya organisasi, bukan sekadar pematuhan kepada peraturan.

Sebaliknya, jika kerangka baharu berjaya menggabungkan autonomi dengan akauntabiliti, kebebasan dengan tanggungjawab, serta kuasa dengan amanah, maka pemansuhan AUKU boleh menjadi titik permulaan kepada transformasi yang lebih bermakna. Pada akhirnya, universiti bukan sekadar struktur pentadbiran, akta atau peraturan.

Di dalamnya ada mahasiswa yang sedang membina masa depan, ahli akademik yang menghasilkan ilmu, dan warga universiti yang memastikan institusi terus berfungsi. Sebarang reformasi akhirnya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia membantu universiti memenuhi
amanah tersebut.

Mencari titik temu
Perbahasan mengenai AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai pertentangan antara kerajaan dengan mahasiswa, atau antara kawalan dengan kebebasan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan awam dan memastikan pendidikan tinggi negara mempunyai kerangka tadbir urus yang kukuh.

Universiti pula memerlukan autonomi yang mencukupi untuk berkembang, berinovasi dan membuat keputusan secara profesional. Mahasiswa berhak mempunyai suara dalam perkara yang menyentuh pendidikan dan masa depan mereka, namun suara tersebut perlu disertai tanggungjawab. Ahli akademik pula memerlukan ruang untuk menjalankan fungsi intelektual mereka dengan bebas, tetapi kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan etika akademik dan tanggungjawab
profesional.

Kesemua kepentingan ini sebenarnya tidak semestinya bertentangan. Maka, dalam kita melangkah daripada AUKU kepada kerangka pendidikan tinggi yang baharu, persoalan paling penting bukanlah semata-mata sama ada kita telah berjaya
memansuhkan sebuah akta.

Persoalan yang lebih besar ialah: Adakah kita berjaya membina sebuah sistem pendidikan tinggi yang lebih berautonomi tanpa kehilangan akauntabiliti, lebih bebas tanpa kehilangan tanggungjawab, dan lebih fleksibel tanpa mengorbankan kepentingan awam?

Jika jawapannya ya, maka reformasi AUKU bukan sekadar perubahan undang-undang. Ia boleh menjadi satu langkah penting ke arah membina institusi pendidikan tinggi yang lebih matang, dipercayai dan bersedia menghadapi masa hadapan. Kerana pada akhirnya, undang-undang boleh menentukan sempadan kuasa.

Tetapi cara kita menggunakan kuasa menentukan siapa kita sebagai sebuah institusi dan sebagai sebuah masyarakat.
Mungkin itulah ukuran sebenar kejayaan reformasi AUKU dan pembangunan OHEA: bukan berapa banyak kuasa yang dipindahkan, tetapi sejauh mana kuasa tersebut akhirnya digunakan untuk membina universiti yang lebih bebas, bertanggungjawab dan dipercayai. Itulah cabaran sebenar dalam membina era baharu pendidikan tinggi Malaysia.

Penulis adalah Timbalan Pengarah (Aduan, Pengukuhan Integriti & Tadbir Urus) & Pusat Integriti & Ombudsman, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here