KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun yang diputuskan terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown atas dakwaan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Hakim Mohd. Radzi Harun ketika membenarkan rayuan wanita tersebut berpuas hati bahawa prosiding yang dijalankan tanpa kehadirannya di hadapan Mahkamah Majistret merupakan perbicaraan yang salah.
Mahkamah turut memerintahkan kes itu disebut di hadapan majistret berlainan bagi perbicaraan semula terhadap pertuduhan sama melainkan jika pihak pendakwaan memutuskan sebaliknya.
Hakim berkenaan juga memerintahkan supaya saksi pendakwaan dipanggil semula dan keterangan mereka direkodkan semasa ketiadaan tertuduh mengikut Seksyen 401(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Ketika menyampaikan penghakiman itu, Hakim Mohd. Radzi berkata, Mahkamah Majistret terkhilaf ketika mengguna pakai Seksyen 425A CPC ketika meneruskan perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh.
Menurut beliau, seksyen berkenaan hanya membenarkan mahkamah meneruskan perbicaraan tanpa kehadirannya jika tertuduh melarikan diri selepas dia didakwa, pertuduhan dibacakan dan pengakuan direkodkan.
“Seksyen 425A mesti dibaca bersama Seksyen 173(a) CPC yang menghendaki seseorang tertuduh dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan dibaca dan dijelaskan dan seterusnya pengakuan diambil,” katanya.
“Oleh kerana Clare tidak pernah hadir ke mahkamah untuk pertuduhan dibaca dan direkodkan, majistret berkenaan telah tersalah pakai Seksyen 425A.
“Tindakan Mahkamah Majistret meneruskan prosiding tanpa kehadiran tertuduh, menjadikan sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan di sisi undang-undang,” kata beliau.
Hakim Mohd. Radzi selanjutnya menyatakan, undang-undang yang menghalang seseorang daripada dibicarakan dua kali bagi kesalahan yang sama tidak terpakai dalam kes terhadap Clare.
Ia kerana, katanya, perbicaraan sebelum ini yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi dianggap seolah-olah ia tidak pernah berlaku secara sah.
Beliau turut mempertimbang kegagalan pihak berkuasa untuk menyempurnakan waran tangkap terhadap Clare yang kini menetap di United Kingdom (UK) kerana Malaysia tidak menandatangani perjanjian ekstradisi dengan negara itu.
Pada 7 Februari tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap pengarang Sarawak Report itu atas dakwaan memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan berkenaan, tanpa kehadirannya.
Berdasarkan pertuduhan, Clare didakwa menulis sebuah buku bertajuk “The Sarawak Report- The Inside Story of the 1MDB Expose” mengandungi perkataan yang didakwa merupakan tohmahan dan merosakkan nama baik Sultanah Nur Zahirah.
Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 14 September 2018 kira-kira pukul 8 pagi di Lot 60048, Taman Chendering Utama, Kuala Terengganu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















