JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia menimbang permintaan kerajaan Johor yang memohon tanah milik kementerian itu di Kempas dibangunkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri perlu memajukan satu kertas cadangan secara rasmi berhubung permohonan tersebut.
Jelasnya, langkah tersebut bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat segera memandangkan cadangan berkenaan sudah disuarakan sejak beberapa bulan yang lalu.
“KKM sebelum ini sudah bersedia memberikan komitmen untuk mempertimbangkan hasrat kerajaan negeri itu kerana perkara ini dilihat sebagai satu cadangan yang sangat baik.
“KKM ada menerima satu permohonan rasmi pada 4 Disember lalu selepas beberapa bulan mereka ada menyebut tentang cadangan untuk memohon tanah milik KKM ini bagi tujuan membangunkan satu perumahan mesra rakyat.
“Kita sudah mengadakan perbincangan yang agak lanjut dan agak serius yang mana kita mahu move forward isu ini. Kertas cadangan rasmi itu supaya kita akan dapat susuli dengan segera bagi kita adakan closure atau pun jalan ke depan untuk lebih penjelasan bagi kita tangani isu yang telah lama disuarakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Permai di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, KKM belum mempunyai maklumat terperinci berhubung permohonan tanah berkenaan, namun dipercayai bakal membabitkan keluasan 58.67 hektar (145 ekar) tanah milik kementerian itu di Kempas.
“Sebenarnya, kita belum dapat lagi putuskan (keluasan tanah) dengan lebih jelas, banyak lagi yang perlu kita halusi. Tapi yang utamanya, kita hampir ke situ, cuma kerajaan negeri diharap boleh majukan cadangan itu untuk direalisasikan harapan untuk bangunkan rumah mampu milik untuk rakyat.
“Kita tak berikan tempoh, tetapi kalau boleh, saya mahu perkara ini disusuli sesegera mungkin, suku pertama tahun 2026,” katanya.
Terdahulu, Dr Dzulkefly mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Permai dan Klinik Kesihatan Sultan Ismail (KKSI) di sini hari ini.
Pada lawatan itu, beliau menyaksikan sendiri usaha dilakukan bagi mengurangkan kesesakan perkhidmatan di KKSI dengan memindahkan sepertiga beban tugasan di klinik kesihatan itu.
“Kita telah memindahkan Klinik Ibu dan Anak serta Unit Pembekalan Ubat Susulan Setempat atau PPUSS di Taman Mount Austin sekali gus memberikan satu pengurangan hampir 30 peratus daripada beban tugas KKSI dan serentak itu ia memberikan persekitaran yang sangat selesa dan luas,” katanya.- MalaysiaGazette
















