ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Kampung Bukit Kecil, Kampung Tiram Duku Kiri, Gelang Patah di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mahdzir Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 9.08 pagi yang jaraknya 26 kilometer.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dengan motosikal jenis Yamaha VMAX ditunggang mangsa berusia 44 tahun
“Kemalangan tersebut menyebabkan penunggang maut di tempat kejadian manakala pemandu terbabit pula cedera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak bomba membantu mangsa yang cedera dengan memberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambahnya, operasi tersebut tamat pukul 9.46 pagi.- MalaysiaGazette
















