Foto: FB Pusat Khidmat Rakyat YB Dato' Sri Ramanan Ahli Parlimen Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Sumber Manusia (Kesuma) satu tanggungjawab besar dalam memastikan agenda pembangunan tenaga kerja negara diperkasakan secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penghormatan dan mandat yang diberikan bagi menggalas jawatan tersebut.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi Kesuma dalam tempoh terdekat selepas proses mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.

“Saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan komitmen demi menjamin harapan rakyat Malaysia termasuk komuniti India dan juga negara seiring dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Ramanan yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dilantik menerajui Kesuma bagi menggantikan Steven Sim.

Sementara itu, Ramanan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih yang amat mendalam kepada seluruh warga Kuskop.

Ujarnya, sepanjang hampir dua tahun berkhidmat di kementerian itu, beliau telah diberikan sokongan dan kerjasama yang cukup padu oleh semua agensi untuk memperkasakan agenda pembangunan ekonomi komuniti India. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast