JOHOR BAHRU – Perbuatan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, hantaran Fahmi dalam media sosialnya yang menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
“Jika dibiarkan, tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengganggu keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial yang selama ini kita pelihara bersama.
“Saya ingin menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, beliau membuat laporan polis bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On supaya Fahmi disiasat.
Ketika ini katanya, laporan polis sedang dibuat secara meluas di seluruh Johor membabitkan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Belia Negeri dan Daerah termasuk Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing, Majlis Belia OKU Johor serta beberapa persatuan belia lain.
Menurutnya, laporan polis juga turut dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian antaranya Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat dan Kulai.
Malah katanya, kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga seperti di Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok, Semerah dan lain-lain turut tampil membuat laporan polis.
“Saya difahamkan lebih 50 laporan polis termasuk dilakukan oleh ketua-Ketua UMNO bahagian membabitkan Mersing, Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Labis dan beberapa bahagian lain.
“Sebarang cubaan untuk merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi ini adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi membolehkan menjalankan siasatan yang segera, telus dan menyeluruh.
Jelasnya, tindakan tegas wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang berkaitan demi menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Dalam era digital hari ini, semua pihak dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam penggunaan media sosial, menghentikan sebarang bentuk provokasi serta menghormati undang-undang dan Institusi Diraja Johor demi memelihara keharmonian dan keamanan bersama.
“Isu ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya- MalaysiaGazette
















