JOHOR BAHRU – Undang-undang terhadap ah long atau sebahagian Pemberi Pinjaman Wang (PPW) berlesen perlu dipinda supaya hukuman lebih keras dan menyeluruh iaitu sejurus peminjam wang diperangkap.
Pengerusi Jawatankuasa Orang Muda (JOM) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Mohd Akmal Mohd Yusoff mendakwa, ketika ini hukuman dikenakan apabila ugutan jenayah berlaku terhadap mangsa.
“Pada masa ini, hukuman berat hanya dikenakan selepas mereka melakukan jenayah serius seperti ugutan, keganasan atau kebakaran. Sedangkan rakyat sudah pun menjadi mangsa sebaik sahaja pinjaman haram itu ditawarkan.
“Oleh itu, undang-undang perlu dipinda supaya hukuman berat dikenakan sejak awal iaitu ketika mereka menjalankan pinjaman haram tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pejuang Johor menuntut hukuman minimum lebih keras iaitu penjara tidak kurang 10 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 bagi mana-mana individu atau sindiket yang menjalankan pinjaman wang haram.
Hukuman itu katanya, mesti dilaksana tanpa kompromi supaya benar-benar menjadi penghalang dan menutup ruang along beroperasi.
“Jangan tunggu sehingga ada mangsa yang diugut atau rumah dibakar baru mahu bertindak. Pencegahan mesti bermula dari akar, dengan hukuman yang cukup keras untuk melindungi rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat berhak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada ancaman ah long siber dan PPW berlesen yang menindas.
Menurutnya, menteri-menteri yang bertanggungjawab mesti segera menggempur rangkaian pinjaman haram dalam talian dan memastikan PPW berlesen mematuhi undang-undang tanpa kompromi.
Jelasnya, ini termasuk menutup ruang eksploitasi digital yang mencuri dan menyalahgunakan data rakyat serta menyediakan mekanisme sokongan dan perlindungan kepada mangsa.
“Krisis ini bukan sekadar isu hutang. Ia adalah isu maruah, keselamatan, dan masa depan rakyat. Menteri, tolong buat kerja. Rakyat tidak boleh terus dibiarkan menjadi mangsa kerakusan along siber dan PPW berlesen yang melanggar undang-undang,” katanya.
Justeru beliau berkata, adalah perlu kerangka hukuman sedia ada dinilai semula kerana ribuan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang terdesak kini terjerat dalam lingkaran hutang dengan kadar faedah mencecah ratusan peratus.
Kadar itu katanya, jauh melampaui had yang ditetapkan oleh Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 iaitu antara 12 hingga 18 peratus setahun.
Akibatnya, ramai mangsa terpaksa menanggung beban hutang yang tidak masuk akal, sementara kaedah kutipan hutang pula dilakukan secara agresif, katanya.
“Ugutan jenayah, penyebaran aib peribadi, serta gangguan berterusan terhadap keluarga dan rakan sekerja telah menghancurkan institusi keluarga, mencetuskan tekanan mental yang ekstrem dan memusnahkan maruah mangsa.
“Lebih membimbangkan, pinjaman haram dalam talian kini semakin berani menggunakan taktik eksploitasi digital,” katanya
Dakwanya, data peribadi peminjam dicuri dan disalahgunakan untuk tujuan ugutan, malah turut melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja, dan jiran tetangga.
Mohd Akmal berkata, itu bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi satu ancaman keselamatan nasional yang menuntut tindakan segera dan drastik.
“Dalam hal ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, selaku badan pengawal selia, mesti sedar masalah ini bukan lagi isu kecil yang boleh ditangani dengan mesyuarat bersama pemaju semata-mata.
“Ia adalah malapetaka nasional yang memerlukan tindakan segera, menyeluruh dan berkesan. KPKT perlu memproses aduan mangsa dengan pantas kerana setiap saat berlengah bermakna ada rakyat yang sedang diugut, diaibkan atau menjadi mangsa kekerasan along,” katanya.
Pada masa yang sama katanya, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mesti melaksanakan tindakan bersepadu.
“Jangan hanya cekap menyiasat musuh politik, tetapi lambat bertindak terhadap aplikasi dan tawaran pinjaman haram yang berleluasa di media sosial.
“Hakikatnya, iklan dan tawaran pinjaman haram ini sangat mudah ditemui di pelbagai platform digital, namun tindakan penguatkuasaan masih terlalu perlahan,” dakwanya lagi.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Mohd Akmal Mohd Yusoff
















