Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang komponen komputer di Tebrau, Johor.

KUALA LUMPUR – Seramai 356 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Ops Mahir di sebuah kilang komponen komputer di kawasan Perindustrian Tebrau, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilaksanakan selepas hasil risikan yang mengesahkan penglibatan serius majikan dalam penggajian pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi yang bermula pada jam 7 petang melibatkan sepasukan pegawai penguatkuasa dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Serbuan mengejut yang dijalankan berjaya menahan sejumlah warga asing yang dipercayai bekerja tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah.

PATI lelaki yang ditahan terdiri daripada 3 warga Pakistan, 26 Bangladesh, 22 India, masing-masing seorang warga Nepal dan Filipina serta 246 lelaki dewasa warganegara Myanmar.

Manakala 53 perempuan dewasa Myanmar, seorang Nepal dan tiga Indonesia.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 46 tahun.

Menurutnya, walaupun sebahagian daripada mereka cuba meloloskan diri bagi mengelak tindakan penguatkuasaan. namun, tindakan pantas anggota penguatkuasa berjaya menutup semua laluan keluar sekali gus menamatkan cubaan meloloskan diri.

Turut ditahan dua warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia kilang tersebut.

“Pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan turut mendedahkan wujudnya unsur pelanggaran undang-undang Imigresen secara terancang, termasuk kegagalan majikan mematuhi syarat-syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan.

Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan -Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Mohd Rusdi menegaskan, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang berdegil melanggar undang-undang imigresen demi keuntungan.

Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan, agresif dan menyeluruh di seluruh negeri Johor bagi memutuskan rantaian penggajian haram PATI serta memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast