KUALA LUMPUR – Kegagalan pihak berkuasa membawa pulang Low Teck Jho atau Jho Low, yang dikenal pasti secara konsisten sebagai dalang utama penyelewengan dana 1MDB, walaupun bertahun-tahun telah berlalu sejak skandal itu didedahkan kekal menjadi persoalan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Jho Low telah dikenalpasti sebagai individu utama yang merancang dan mengawal penyelewengan dana tersebut sepanjang perbicaraan 1MDB oleh pelbagai saksi pendakwaan dan pembelaan.
Namun sehingga hari ini, Jho Low masih bebas di luar negara dan tidak dibawa pulang ke Malaysia untuk dibicarakan.
“Adakah kerajaan ada ‘rundingan kotor’ untuk tidak bawa dalang utama ini ke Malaysia?,” dakwanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Shafee turut mempersoalkan tahap keberkesanan usaha penguatkuasaan terhadap Jho Low termasuk status Notis Merah Interpol terhadap individu berkenaan yang dilihat tidak lagi aktif.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada semua usaha yang munasabah telah benar-benar diambil untuk menjejaki dan membawa pulang beliau,” katanya.
Menurutnya, kegagalan membawa pulang Jho Low mencetuskan persepsi bahawa wujud layanan berbeza terhadap individu yang dikenal pasti sebagai dalang utama skandal kewangan terbesar negara itu.
Beliau berkata, isu itu perlu dilihat bersama dengan layanan terhadap individu lain yang terlibat secara langsung dalam urus niaga 1MDB, termasuk mereka diberi perlindungan saksi walaupun memainkan peranan signifikan.
“Apabila individu utama tidak didakwa atau dibicarakan, manakala saksi lain diberikan perlindungan, ia menjejaskan keyakinan awam terhadap ketelusan dan keadilan proses undang-undang,” ujarnya.
Shafee berkata, ketiadaan Jho Low dalam prosiding mahkamah juga memberi kesan langsung terhadap proses pencarian fakta sebenar berhubung aliran dana dan struktur konspirasi 1MDB.
“Bagaimana kebenaran sepenuhnya dapat dicapai apabila individu yang dinamakan sebagai dalang utama tidak pernah diuji keterangannya di mahkamah,” soal beliau.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan keadilan malah mencetuskan keraguan terhadap integriti keseluruhan proses pendakwaan dalam kes 1MDB.
Shafee menegaskan kegagalan membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan akhirnya memberi kesan besar terhadap persepsi keadilan awam dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Tanpa kehadiran Jho Low di hadapan mahkamah, persoalan siapa sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya dalam skandal 1MDB akan terus kekal,” katanya. – MalaysiaGazette















