Astuti menunjukkan kawasan rumahnya yang musnah dalam banjir di Kampung Menanggini, Karang Baru, Aceh Tamiang, Aceh.

ACEH – Seorang mangsa banjir di Kampung Menanggini, Karang Baru, Aceh Tamiang di sini mendakwa terpaksa menahan lapar selama tiga hari selepas bah besar melanda tempat tinggalnya pada 26 November lalu.

Astuti Joni, 31, berkata, keadaan selepas banjir amat susah kerana tiada apa yang tinggal kerana rumah sudah roboh, tanaman musnah dan terputus hubungan dengan dunia luar akibat jalan ditimbuni kayu-kayu balak besar yang hanyut.

“Selamat tiga hari saya bersama-sama suami, dua anak dan jiran-jiran kelaparan kerana tidak mempunyai makanan. Selepas tiga hari mencari makanan kami terjumpa beras yang dihanyutkan air.

“Beras itu sudah kembang dan saya membasuhnya dengan air lumpur kerana tiada air bersih. Kami empat beranak makan nasi yang dimasak daripada beras itu dan mentah tetapi bersyukur tidak sakit.

“Kami minum air lumpur kerana tiada bekalan air bersih. Saya katakan kepada anak-anak saya air berlumpur itu adalah air tebu supaya mereka minum dan tidak terus kehausan. Kami terpaksa minum untuk menghilangkan dahaga kerana sudah tiada pilihan,” katanya.

Ibu kepada dua anak berusia 8 dan 10 tahun dan bekerja menjual sayur itu berkata demikian ketika ditemui semalam, menceritakan banjir besar memusnahkan rumah mereka di kampung berkenaan yang memusnahkan segala-galanya.

Astuti ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 anjuran MyCare dan Pasaraya Econsave yang memberikan bantuan rakyat Malaysia kepada mangsa banjir di wilayah Aceh.

Bercerita lanjut, dia dan suami yang bekerja mengambil upah melakukan kerja-kerja skop pasir di kampung itu mengakui tidak tahu bagaimanapun memulakan semula kehidupan yang sudah musnah.

Dia berkata, hujan lebat melanda selama tiga hari tanpa henti sebelum disusuli angin kencang dan air naik berterusan.

“Hujan dengan angin kencang itu kemudian menerbangkan warung berdekatan rumah kami sebelum terkena rumah saya sebelum rumah saya turut roboh dan musnah. Keluarga saya kemudian menyelamat diri ke pasentren (premis pengajian agama),” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Yusnita Untung, 38, berkata, bagi mengelak dia, suami dan empat anaknya yang berusia antara setahun hingga 10 tahun kebuluran, mereka makan apa sahaja yang ditemui asalkan selamat dimakan.

Dia berkata, keadaan itu berlaku semasa air banjir melepasi bumbung rumah masih tidak surut dan terpaksa berteduh di sebuah pesanteren berdekatan yang mempunyai bangunan beberapa tingkat.

Bercerita lanjut, Yusnita berkata, mereka tinggal di situ dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik terputus dan tiada bekalan air bersih.

Mangsa banjir yang terpaksa menahan lapar dan hanya menadah minum air hujan untuk mengisi perut dengan mengharapkan bantuan mana-mana pihak segera tiba.

“Kami makan pisang rebus dan minum serta makan isi kelapa untuk bertahan serta terus hidup selama beberapa hari. Ini termasuk beras hanyut yang ditemui. Kami dapat makan dua kali sehari,” katanya.

Dia berkata, suaminya, seorang pekerja swasta dan mangsa banjir lain kemudian cuba keluar dari kampung tersebut untuk mendapatkan makanan tetapi dimarahi penduduk berdekatan kerana membahayakan diri keluar dari situ.

Katanya, mereka terpaksa keluar dalam keadaan jalan terputus hubungan bagi mencari bekalan makanan kerana tiada apa-apa yang tinggal sekiranya sekiranya terus bertahan di kampung tersebut.

“Mereka (penduduk luar kampung itu) kata kami jahat kerana keluar dari kampung dalam keadaan begitu tetapi kami tiada pilihan. Biasanya mahu keluar kampung dengan jalan yang ada hanya mengambil masa lima minit perjalanan.

“Namun dalam keadaan jalan tertutup dengan sisa banjir dan kayu balak, kami terpaksa ambil masa kira-kira dua jam untuk keluar dari kampung ke jalan utama bagi mencari makanan dan bantuan,” katanya.

Dakwanya, banjir kali ini adalah yang paling buruk di kawasan tersebut tidak seperti bah pada 2006 sebelum ini, sekali gus meninggal kesan trauma yang mendalam.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare atau Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast