PETALING JAYA – Mahkamah Majistrest hari ini menetapkan 16 Januari depan bagi memperoleh keputusan laporan lengkap psikiatri pelajar lelaki didakwa menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Oktober lalu.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Foong berkata, keputusan itu dibuat oleh Majistret Amira Sariaty Zainal selepas permohonan pasukan pembelaan membenarkan lanjutan tempoh bagi mendapatkan laporan tersebut.
Katanya, ketika ini prosiding anak guamnya berusia 14 tahun itu tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan dan evaluasi atau penilaian mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
“Ini akan menjadi tarikh yang terakhir yang mana kesemua benda-benda perlu diambil kira oleh pihak Hospital Bahagia (seperti) temu bual dengan ahli keluarga, dokumentasi sejarah tingkah lakunya di rumah dan sekolah, serta bukti ke apa ke perlu mereka buat, maka semua itu akan diperoleh dengan bantuan pihak pegawai penyiasat.
“Penama tidak hadir hari ini kerana masih menjalani rawatan dan evaluasi di sana (Hospital Bahagia) dan yang hadir hari ini adalah timbalan pendakwa raya, saya dan seorang lagi peguam yang mewakili keluarga ada juga peguam pemerhati dan Suhakam,” jelasnya ketika ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Ditanya mengenai keadaan anak guamnya, Foong berkata,remaja itu kini berada dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan yang positif sepanjang tempoh proses pemulihan yang dijalaninya sejak 22 Oktober lalu.
“Setahu saya dia menerima rawatan dan responsnya adalah bagus, ada dikatakan pemulihan, nampak reaksi yang baik daripada rawatan yang diterima, dia juga dirawat dan diselidik tentang apa yang berlaku.
“Saya menerima maklum balas yang bagus bererti positif dan tempoh evaluasi total tiga bulan,” ujarnya.
Pada sebutan pertama kes itu pada 22 Oktober lalu, pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal menerusi prosiding tertutup memandangkan tertuduh adalah seorang juvana.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Untuk rekod, remaja berusia 14 tahun itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Tertuduh didakwa membunuh mangsa di dalam tandas pelajar perempuan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















