Kanak-kanak meminta derma daripada orang ramai selepas rumah mereka musnah akibat banjir di Aceh Tamiang, Aceh, Indonesia.

 

ACHEH – Musibah banjir di beberapa tempat di Aceh Tamiang di sini terutama di kawasan berdekatan sungai dan tali air memusnahkan kehidupan kerana berlaku kerosakan dan kerugian yang amat teruk.

Tinjauan Malaysia Gazette di kawasan banjir yang sudah surut namun hujan masih melanda mendapati, terdapat kediaman yang roboh, dihanyutkan air selain hampir runtuh, struktur asal senget dan sudah beralih dari tapak asal rumah.

Terdapat juga rumah-rumah yang sudah rosak, dinding rumah-rumah kayu dan pagar yang rebah selain lumpur, sampah sarap termasuk kayu-kayu balak masuk dalam rumah.

Penduduk dan peniaga kawasan sekitar mengambil peluang membersihkan rumah serta kedai masing-masing namun tetap dalam keadaan berjaga-jaga kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.

Keadaan kemusnahan banjir itu dapat dilihat sepanjang dalam jarak lebih 50 kilometer di kawasan Aceh Tamiang antaranya masjid, surau, kubur, balai komuniti dan balai polis turut dimasuki air bah sedalam kira-kira lebih satu meter.

Terdapat khemah-khemah sementara didirikan di kawasan tinggi dan atas Jambatan Kuala Simpang yang menempatkan ribuan khemah dan bekalan air bersih disalurkan melalui bantuan dari luar menerusi lori-lori tangki.

Selain itu, terdapat kanak-kanak dan orang dewasa berdiri di tepi dan tengah jalan menghulurkan tin dan bakul sampah meminta derma orang ramai serta kenderaan yang lalu di kawasan tersebut.

Menurut penduduk setempat, terdapat mangsa banjir yang masih mencari ahli keluarga yang hilang akibat hanyut atau tertimbus dalam runtuhan sisa rumah akibat banjir terburuk dalam sejarah Aceh.

Terdapat semua rumah di beberapa kampung roboh sama sekali dan mereka tinggal sehelai sepinggang serta sehingga kini masih berlindung di masjid berdekatan yang tidak dinaiki air.

Malah terdapat beberapa kampung yang terpaksa menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare atau Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast