BUKIT MERTAJAM – “Sayu saya lihat pada usia 89 tahun, seorang warga emas di Kampung Baru Berapit terpaksa menetap di kediaman yang hampir roboh”.
Demikian luah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong selepas menziarahi wanita dikenali sebagai Cha Moi atau nama sebenarnya Fu Chaw Mee yang telah menetap di rumah berkenaan sejak berkahwin pada usia muda.
Menurut Steven, rumah kayu yang didiami Cha Moi itu kini berusia hampir 70 tahun dan keadaannya semakin uzur terutama ketika hujan apabila air menitis jatuh ke tempat tidurnya.
Beliau berkata, Cha Moi kini tinggal bersama anak lelakinya berusia 57 tahun yang hanya melakukan kerja-kerja kampung bagi meneruskan kehidupan seharian.
“Anak-anak lain ada jaga emak mereka tetapi mereka pun orang susah, masing-masing ada tanggungjawab keluarga.
“Walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyalurkan bantuan, ia sekadar mencukupi untuk keperluan asas harian,” katanya.
Menurut Steven, suami Cha Moi telah meninggal dunia 25 tahun lalu dan rumah berkenaan menjadi satu-satunya tempat tinggal yang menyimpan kenangan hidup mereka sebagai suami isteri.
“Kini yang ada hanya kenangan hidup sebagai suami isteri dan rumah tua yang didiami mereka. Bagaimanapun, kediaman itu bukan sahaja uzur malah tidak lagi selamat untuk seorang warga emas.
“Tiada kipas yang berfungsi, bilik air pun lantai licin dan tidak selamat, tiada ruang yang benar-benar selesa untuk seorang warga emas yang telah melalui begitu banyak liku kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu cukup menyentuh perasaannya ketika lawatan berkenaan.
“Apabila saya menziarahi Auntie Cha Moi, hati saya rasa cukup sayu. Tapi tak apa, saya janji akan bina rumah baharu, rumah yang selamat kerana tiada siapa yang patut lalui usia senja dalam keadaan begini.
“Saya juga akan memastikan Auntie Cha Moi akan menyambut Tahun Baharu Cina di kediaman baharu itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















