Anggota bomba bersama-sama penduduk dalam Program Keselamatan Aktiviti Air Bersama Komuniti di Kampung Sepakat Skudai Baru, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor merakamkan 20 kematian akibat lemas sejak awal tahun hingga kini.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Johor, Penguasa Bomba, Winnie Kasing Jackson berkata, 16 daripada kematian itu membabitkan dewasa serta empat kanak-kanak.

“Sebanyak 10 daripada kematian itu membabitkan kes lemas dalam air di kawasan pantai, enam kes lemas di Sungai, tiga kes lemas di kawasan. lombong atau tasik dan satu kes lemas di sungai.

“Seramai 13 dewasa pula diselamatkan di kawasan pantai selain dua kanak-kanak diselamatkan di Sungai bagi mengelakkan mereka lemas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan Aktiviti Air Bersama Komuniti di Kampung Sepakat Skudai Baru di sini.

Program Keselamatan Aktiviti Air Bersama Komuniti di Kampung Sepakat Skudai Baru itu dijayakan kira-kira 200 penduduk termasuk kanak-kanak dan dewasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Bor Yang menyempurnakan program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I Zaipulbahri Mat Rusok@Hassan; Pengarah Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penghulu Mukim Tebrau, Muhammad Nor Hisam Kahar.

Mengulas lanjut, Winnie Kasing berkata, seorang kanak-kanak pula dilaporkan mengalami kecederaan di kawasan sungai selepas hampir lemas.

Kes lemas, ujarnya, berisiko berulang ketika Monsun Timur Laut (MTL), JBPM dan sentiasa mengingatkan orang ramai untuk berwaspada, memakai jaket keselamatan, dan peka cuaca semasa melakukan aktiviti air.

“Ibu bapa dinasihatkan berwaspada semasa banjir dan tidak membiarkan anak-anak bermain air banjir atau meredah kawasan berarus deras untuk mengelak risiko lemas.

“Ia berikutan arus banjir sangat berbahaya walaupun kelihatan tenang, dan boleh menyebabkan maut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Komuniti Bomba merangkap JPKK Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran berkata, perkampungan itu yang terletak berhampiran Sungai Skudai turut banjir pada Mac lalu hingga penduduk terpaksa mengalami pelbagai kerugian dan kesulitan.

Pihaknya yakin penganjuran program seumpama itu amat membantu penduduk bagi menghadapi sebarang risiko sekiranya banjir berulang.

“Kebanyakan kanak-kanak mahupun dewasa di sini dapat mempelajari teknik apungan di air bagi mengelakkan lemas malah mereka juga didedahkan panduan ketika menaiki bot serta langkah keselamatan dan kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit,” katanya.

Menurut Winnie, ia merangkumi panduan penyelamatan ketika berdepan situasi kecemasan di kawasan banjir.

“Kami berharap penduduk peka dengan pelan kecemasan komuniti di tempat anda, isyarat amaran, laluan menyelamatkan diri dan lokasi pusat pemindahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast