JOHOR BAHRU – Lebih RM3.81 juta denda dikenakan mahkamah yang melibatkan kes-kes bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepanjang tahun ini.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara terkumpul selama setahun empat bulan terhadap individu serta pihak yang disabitkan kesalahan alam sekitar dalam tempoh itu.
“Peningkatan kadar denda dan hukuman penjara itu mencerminkan tahap ketegasan penguatkuasaan serta penilaian serius terhadap impak pencemaran ke atas alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025, JAS Johor telah memperkukuh tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang serta tahap keseriusan kesalahan yang dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, kadar denda serta hukuman penjara yang lebih tinggi bertujuan memberi kesedaran, pengajaran dan mendorong pematuhan undang-undang, bukan semata-mata bersifat hukuman.
Sepanjang tahun 2025 katanya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap individu serta pihak bertanggungjawab yang disabitkan kesalahan alam sekitar.
“Hukuman yang dijatuhkan merangkumi penjara sehingga 16 bulan berserta denda, dan denda sehingga RM450,000, termasuk pelaksanaan hukuman penjara mengikut tahap keseriusan dan pengulangan kesalahan,” ujarnya.
Menurut Mohd Famey, pelaksanaan hukuman itu bertujuan memberi kesan pencegahan yang jelas dan menghalang pengulangan kesalahan, khususnya bagi kesalahan serius dan berulang.
Ujarnya, JAS Johor akan terus memberi keutamaan kepada penguatkuasaan kesalahan di bawah Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membabitkan pencemaran serius serta pengurusan bahan berbahaya tanpa kelulusan.
“Jabatan menyeru semua pemilik premis dan pengusaha industri agar mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang, memastikan sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Mereka juga diseru untuk mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada JAS bagi memastikan pematuhan berterusan, tambahnya.
“Pematuhan undang-undang alam sekitar bukan sahaja kewajipan perundangan, tetapi tanggungjawab bersama bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Justeru itu, orang awam digalakkan menyalurkan maklumat dan aduan melalui saluran rasmi JAS supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil segera dan berkesan.
“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.- MalaysiaGazette
















