JOHOR BAHRU – Larangan bawa binatang peliharaan ke pusat beli-belah dan kawasan awam atas nama konsep pet friendly perlu diperluaskan lagi.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, larangan itu wajar diperluas ke kawasan awam lain seperti kawasan rehat, riadah dan rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Hakikatnya, binatang peliharaan boleh menimbulkan ketidakselesaan melalui bau, bunyi, najis serta tingkah laku yang tidak dapat dijangka. Ini bukan soal benci kepada haiwan tetapi soal tanggungjawab sosial dan kepentingan awam.
“Para pencinta haiwan perlu menerima hakikat bahawa tidak semua orang menyukai atau selesa dengan binatang peliharaan. Sama seperti memainkan muzik di ruang awam, selera dan penerimaan setiap individu adalah berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, membawa haiwan ke ruang awam tanpa kawalan dan tidak mengambil kira sensitiviti orang lain adalah satu bentuk sikap mementingkan diri dan bercanggah dengan prinsip asas hidup bermasyarakat iaitu saling menghormati dan menjaga keselesaan bersama.
Beliau menegaskan, trend antarabangsa tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan nilai keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan masyarakat.
Malaysia, katanya, mempunyai norma sosial, budaya dan keperluan kesihatan awam tersendiri yang mesti dihormati.
Pejuang Johor juga menyokong sepenuhnya pendirian Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim yang menegaskan larangan membawa binatang ke pusat beli-belah kekal berkuat kuasa demi keselamatan, kebersihan dan keselesaan pengunjung.
“Pusat beli-belah ialah ruang awam tertutup, mesra keluarga dan digunakan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai alahan, fobia atau sensitiviti kesihatan,” ujarnya.
Hak golongan itu tidak boleh dipandang ringan atau dikorbankan.
Kesimpulannya, Pejuang Johor berdiri teguh bersama-sama kepentingan rakyat dan menegaskan bahawa larangan kemasukan binatang peliharaan ke pusat beli-belah dan kawasan awam adalah wajar, perlu dan tidak boleh dikompromi.
“Keutamaan mesti diberikan kepada majoriti masyarakat, bukan kehendak segelintir pihak dan dengan pendirian yang tegas dan konsisten, ruang awam dapat kekal selamat, bersih, harmoni serta inklusif untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















