Dr Ahmad Fadhzil Mohamad.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) Perlis menyeru parti-parti dalam kerajaan negeri khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetepikan ego politik masing-masing dan kembali ke meja perundingan.

Ketuanya, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, rakyat Perlis tidak wajar terus dibebankan dengan konflik kuasa yang didorong oleh kepentingan peribadi dan perebutan jawatan.

Menurutnya, jalan terbaik dalam konflik politik di Perlis ketika ini adalah perbincangan yang matang, beradab dan berlandaskan Perlembagaan, demi memastikan kerajaan negeri dapat terus berfungsi sehingga tamat tempoh penggal.

Ujar beliau, kestabilan pentadbiran adalah keperluan utama bagi membolehkan fokus diberikan kepada kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan pemulihan keyakinan awam.

“Prinsip demokrasi mesti disanjung dan dijulang dengan penuh amanah, keadilan dan rasa tanggungjawab terhadap rakyat.

“Politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya wadah untuk membawa penyelesaian dan masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sidang akhbar hari ini, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memaklumkan, tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula menerusi pelaksanaan pilihan rakyat kecil (PRK) demi kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Ia susulan keputusan Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu malam tadi, yang memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Sementara itu, Ahmad Fadhzil berkata, sekali pun PH dan Barisan Nasional (BN) menang pada tiga PRK di DUN yang ditinggalkan Pas, namun ia tetap tidak mengubah kedudukan kerajaan negeri sedia ada.

Sehubungan itu, tambahnya, usaha menggugat kestabilan politik negeri atas alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, mengheret nama baik negeri Perlis serta membiarkan rakyat terperangkap dalam kancah politik dalaman yang sempit dan tidak berprinsip adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sepanjang sejarah pentadbiran negeri, Perlis tidak pernah berada dalam keadaan ketidakstabilan politik yang seteruk ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast