KLUANG – Seorang remaja lelaki tidak pernah bersekolah kerana tiada memiliki kad pengenalan selepas ditinggalkan ibu kandungnya kepada keluarga angkat di Kampung Parit Ghani, Simpang Renggam di sini sejak masih bayi.
Keadaan itu menyebabkan Muhammad Al Amin yang kini berusia 16 tahun dan dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hanya mampu melihat rakan-rakan sebaya menikmati alam persekolahan dari jauh.
Penjaganya, Mar Siti Khamis, 58, berkata, remaja tersebut hanya menggunakan surat daftar kelahiran untuk sebarang urusan dan kini sukar memohon kad pengenalan.
Mar Siti berkata, Muhammad Al Amin yang dilahirkan di HSA pada 25 Ogos 2009 dan ketika berusia dua bulan, ibu kandungnya Ida Ratna Sari iaitu warga Indonesia telah menyerahkan zuriatnya itu kepada keluarga Sariah Marjonet, 62.
“Muhammad Al Amin diserahkan atas alasan kurang berkemampuan selain mahu mencari pekerjaan lebih baik untuk kehidupan keluarganya.
“Bagaimana pun selepas menyerahkan zuriatnya kepada keluarga Sariah, Ratna Sari terus meninggalkan Simpang Renggam tanpa sebarang pesan malah dokumen daftar kelahiran juga terpaksa dilakukan oleh penjaganya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dia berkata, akibatnya semua proses berkaitan Muhammad Al Amin terbantut hingga menyebabkannya tidak bersekolah hingga sekarang dan kini berdepan kesukaran mendapatkan kad pengenalan.
Menurut Siti lagi, Sariah yang telah uzur akibat sakit tua kini menyerahkan remaja itu untuk dijaga namun perlu mendapatkan kelulusan anak angkat yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sehubungan itu pihaknya berharap dapat menjejaki Ratna Sari agar dapat memudahkan urusan dokumentasi anak angkat yang sah, seterusnya membolehkan dokumen diri remaja itubdiperolehi dan menjalani kehidupan seperti remaja lain.
“Mereka yang mengetahui kedudukan atau tempat Ratna Sari berada diharapkan dapat memaklumkan kepada saya menerusi talian 019‑7248967 bagi membolehkan janji temu dilakukan,” katanya.- MalaysiaGazette
















