KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa hari ini atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata, hasrat peletakan jawatan tersebut sudah dipersembahkan kepada Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tengah hari tadi.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis dan rakyat Perlis yang mana sepanjang tiga tahun perkhidmatannya, telah memberikan kerjasama yang cukup erat.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan Pas yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Perlis sejak hujung 2022 sehingga ke hari ini.
“Ia adalah satu penghargaan dan amanah yang cukup besar kepada saya untuk memegang jawatan ini.
“Saya juga memohon maaf sekiranya ada kesalahan dan kelemahan sepanjang mentadbir negeri ini.
“Insya-Allah, pengganti saya kelak akan meneruskan agenda yang telah dirancang untuk memastikan kesejahteraan rakyat Perlis dan terus bekerja dengan sempurna dan istiqamah,” katanya dalam sidang akhbar seperti disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan penerimaan Tuanku Raja Perlis berkenaan hasrat peletakan jawatannya, Mohd Shukri berkata, beliau menjangkakan akan ada jawapan bertulis daripada pihak istana sama ada menerima secara terus peletakan jawatannya.
Namun, katanya, peletakan jawatan yang disembah maklum beliau adalah berkuat kuasa hari ini, atau mungkin sehingga dilantik pengganti baharu.
“Kalau diikutkan surat (peletakan jawatan) saya berkuat kuasa hari ini, atau sehingga dilantik pengganti baharu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri menafikan peletakan jawatannya ada kaitan dengan konflik politik yang sedang berlaku di Perlis ketika ini, khususnya berkenaan akuan bersumpah (SD) lapan ADUN yang menarik sokongan terhadapnya.
“Peletakan jawatan saya atas faktor sukarela dan masalah kesihatan, tiada kaitan dengan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan lapan ADUN itu, Mohd Shukri berkata, beliau langsung tidak mengetahui kewujudan gerakan tersebut sehinggalah pada hari ia berlaku.
“Maklumat langsung tak dikesan, tiba-tiba sahaja terjadi, saya pun dapat maklumat itu pada hari kejadian, jadi itu kebijaksanaan mereka merancang,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Mohd Shukri, beliau tidak berasa kecewa dengan tindakan lapan ADUN berkenaan, namun mengakui kesilapannya yang terlalu baik dan menghargai persahabatan yang terjalin.
“Kita langsung tidak menjangkakan dengan persahabatan ini, kita diperlakukan sedemikian,” katanya.
Ditanya berkenaan kesan terhadap hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan lapan ADUN itu, Mohd Shukri berkata, kepimpinan PN akan bermesyuarat dan melihat semula penerimaan atau hubungan antara parti di dalam PN. – MalaysiaGazette
















