KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin meluahkan isi hatinya yang berasakan keputusan mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bapanya seperti satu penamat yang telah ditentukan.
Katanya, ia tidak dirasai sebagai satu perbicaraan yang seimbang tetapi lebih kepada pelaksanaan hukuman (apakah mungkin hukuman yang telah dirancang).
Menurutnya yang juga Exco Pemuda UMNO, adalah sukar untuk difahami daripada segi logik berapa kali seseorang boleh dihukum untuk satu kesalahan.
“Seseorang tidak boleh disabitkan dua kali kerana membunuh orang yang sama tetapi dalam kes ini terdapat 25 pertuduhan yang membawa kepada hukuman hampir seumur hidup, dengan denda berbilion ringgit.
“Ia benar-benar sukar untuk dihadam oleh orang biasa,” kata Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkenaan menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Lebih mengelirukan, beliau mempersoalkan ketika sumbangan daripada keluarga diraja Arab tidak wujud dan tidak diterima sebagai sah di mahkamah, bagaimana pula jumlah yang sama boleh dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengapa semua saksi lain yang menerima wang 1MDB termasuk individu yang diketahui umum masih bebas tanpa hukuman.
“Memang banyak percanggahan dan isu perundangan yang akan dibawa ke hadapan oleh pihak peguam. Namun satu perkara ingin ditegaskan dengan jelas: Datuk Seri Najib boleh dituduh dengan pelbagai perkara tetapi beliau bukan orang yang mencuri wang 1MDB.
“Kita semua tahu siapa yang melakukannya dan orang itulah yang tidak berada di kandang saksi, tidak di penjara, dan tidak dibebani denda berbilion ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin menegaskan, walau berapa lama hukuman dan sebesar mana denda yang dikenakan terhadap bapanya sekali pun, jasa dan sumbangan Najib kepada negara tidak boleh dipadamkan dan rakyat melihat serta menilai.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada semua yang masih percaya dan menyokong supaya memberikan kekuatan kepada bapanya dengan berdoa kepada Allah supaya Najib mampu melalui waktu yang sangat sukar ketika ini.
“Seperti mana beliau pernah berkhidmat dan membantu negara ini suatu ketika dahulu, kini tibalah masa kita berdiri bersama-sama dengan penuh maruah dan kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















