SEGAMAT – Seramai 162 penduduk di daerah ini dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) sejak semalam selepas kediaman mereka banjir.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah tersebut melibatkan 54 keluarga dari tujuh buah kampung setakat pukul 10 pagi ini.
“Mangsa banjir melibatkan penduduk dari Kampung Sebarang Batu Badak, Kampung Batu Lima, Kampung Sermin, Kampung Paya Lebar, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Orang Asli Sungai Kecil dan Kampung Baru Gemas.
“Mereka dipindahkan ke PPS di balai raya, dewan serbaguna dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua mangsa dipindahkan susulan hujan lebat berterusan di daerah ini sejak semalam secara berperingkat-peringkat untuk tujuan keselamatan.
Tambahnya, terdapat sebuah jalan yang terjejas dengan banjir iaitu di Jalan Jabi-Bukit Tempurong yang ditutup sementara selepas dinaiki air setinggi 0.30 meter.
Beliau juga memaklumkan terdapat lima buah sungai sudah berada pada paras bahaya di empat daerah.
Jelasnya, ini melibatkan Sungai Muar di Segamat; Sungai Muar dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Endau dan Sungai Tenglu Kecil di Mersing serta Sungai Batu Pahat di Batu Pahat.- MalaysiaGazette
















