Ab Rahaman menunjukkan senjata yang digunakan dalam pergaduhan di Taman Mount Austin, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pergaduhan sekumpulan lelaki bersenjata di Taman Mount Austin di sini kelmarin berpunca rasa tidak puas hati kerana gagal menuntut wang sebanyak RM100,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semasa  kejadian pada pukul 3.50 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun menemani rakannya di depan sebuah restoran untuk berbincang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rakan mangsa meminjamkan akaun bank kepada salah seorang suspek.

Menurutnya, wang berjumlah RM100,000 didepositkan ke dalam akaun bank dan telah dikeluarkan rakan mangsa secara berperingkat-peringkat menyebabkan suspek berasa tidak puas hati dan menuntut bayaran balik daripada rakan mangsa.

“Ketika perbincangan membabitkan sekumpulan lelaki, dipercayai berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa diserang manakala rakan mangsa berjaya melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk di kepala dan masih menerima rawatan di sebuah hospital di bandar raya ini dan dalam keadaan stabil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan isu kongsi gelap atau sindiket ah long ceti, sebaliknya perselisihan faham antara rakan berkaitan pertikaian pinjaman perniagaan secara peribadi.

Menurutnya, setakat ini seramai 13 individu ditahan kelmarin dan semalam antara termasuk 12 lelaki serta seorang perempuan warganegara Vietnam yang merupakan isteri kepada seorang suspek.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun, ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ketamin.

Semua 12  suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Januari ini manakala suspek wanita direman tiga hari sehingga esok bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat suspek yang masih bebas dan senjata-senjata digunakan semasa kejadian rusuhan.

Beiau berkata, kes disiasat di bawah  Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan dengan denda atau sebat.

Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan juga dikenakan denda.

Jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang katanya, maka pesalah itu perlu dikenakan pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun.

Tambahnya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Selain itu siasatan turut membabitkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke badan sendiri dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan penjenayah yang menggugat keselamatan serta kesejahteraan awam,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast