KUALA LUMPUR – Dua lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan masing-masing hari ini.
Mereka ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai PN Perak berkuat kuasa 1 Januari ini.
Faizal Azumu yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, keputusan itu bagi menghormati kuasa pelantikannya yang merupakan prerogatif Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan.
Mohamad Hanifah yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkata, peletakan jawatannya itu mengambil maklum lantikannya sebelum ini adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi PN Pusat.
Setakat ini, empat Pengerusi PN sudah mengumumkan melepaskan jawatan masing-masing dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dahulu melepaskan jawatan itu di Selangor, disusuli Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor).
Selain itu, Mohamed Azmin turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN.
Keputusan mereka itu menyusul selepas Muhyiddin awal hari ini membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Pusat berkuat kuasa 1 Januari ini, susulan kemelut politik di Perlis.
Ketika ini, lapan negeri menyaksikan lantikan Pengerusi PN daripada Bersatu, dengan empat lagi pemimpin PN negeri dijangka turut membuat pengumuman melepaskan jawatan masing-masing pada bila-bila masa.
Mereka ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Melaka); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah); Datuk Dr Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan) dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).
Sementara itu, di lima buah negeri iaitu Perlis; Kedah; Kelantan; Terengganu dan Pahang, Pengerusi PN disandang oleh pemimpin Pas.
Di Pulau Pinang pula, Pengerusi PN disandang Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang sehingga kini belum membuat sebarang kenyataan susulan krisis yang sedang berlaku di dalam PN. – MalaysiaGazette

















bubar aje lah BERSATU ni krrana list penubuhannya sangat kotor dan menjijikan. Niat asalnya islah untuk membunuh UMNO. Sangat tidak morning. Inilah kifarah dan hukum arms.