Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat melakukan tinjauan banjir di Kampung Mensudut Pindah, Segamat

SEGAMAT – Banjir di daerah ini semakin pulih apabila hanya 111 mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 1 tengah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah tersebut melibatkan 34 keluarga dari tigabuah kampung.

Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana negeri berkata, melibatkan penduduk dari Kampung Sebarang Batu Badak, Kampung Serdang dan Kampung Paya Lebar.

“Mereka ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Sebarang Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Sanglang dan Balai Raya Kampung Paya Lebar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua mangsa ujarnya, dipindahkan susulan hujan lebat berterusan di daerah ini beberapa hari lalu secara berperingkat-peringkat untuk tujuan keselamatan.

Beliau juga memaklumkan terdapat lapan buah sungai sudah berada pada paras bahaya di empat daerah.

Katanya, ini melibatkan Sungai Muar di Segamat; Sungai Muar dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Punggai di Kota Tinggi serta Sungai Muar di Muar.

Selain itu katanya, terdapat cerun runtuh di Felda Tenggaroh 3, Mersing selain banjir di Jalan Putting, Segamat dan Jambatan Kesang di Sungai Rambai, Tangkak, retak.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast