Penentang bekas Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, mengadakan demonstrasi di Doral, Florida, pada 4 Januari 2026. foto AFP

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

TIGA hari selepas sambutan tahun baharu, dunia dikejutkan oleh serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela, diikuti pengumuman bahawa Presiden Nicolás Maduro dan isterinya ditangkap. Sekilas pandang, peristiwa ini digembar-gemburkan sebagai usaha menegakkan undang-undang antarabangsa, memerangi autokrasi dan menangani ancaman “narco-state”.

Namun jika dibaca melalui lensa semiotik dan naratif, serangan ini bukan sekadar tindakan ketenteraan atau isu jenayah; ia adalah manifestasi kuasa simbolik dan geopolitik strategik.  Tindakan fizikal dan retorik itu sendiri berfungsi sebagai bahasa kuasa yang menyampaikan mesej sejagat bahawa kedaulatan sesebuah negara kini bukan hak mutlak lebih jauh lagi boleh ditafsir, diubah atau diambil oleh kuasa besar yang menguasai naratif dan sumber strategik.

Dalam perspektif semiotik, serangan ini adalah tanda yang penuh makna. Bom yang dilepaskan, penangkapan Maduro dan kemasukan syarikat minyak AS ke Venezuela bukan sekadar fakta fizikal sebagai adalah penanda kuasa. Ia memberitahu dunia bahawa AS boleh menentukan siapa yang sah dan siapa yang layak dihukum dalam sistem global.

Venezuela menjadi teks simbolik di mana kedaulatan diruntuhkan terlebih dahulu di peringkat makna sebelum ia diruntuhkan di lapangan.  Presiden Maduro bukan hanya individu tetapi simbol kedaulatan dan penguasaan sumber strategik negara.
Penyingkirannya memberi mesej bahawa negara yang mengawal sumber kritikal tidak selamat daripada campur tangan kuasa luar jika ia dilabel sebagai “ancaman” dalam geonaratif sejagat.

Geonaratif barat berfungsi sebagai bingkai untuk menyusun dunia: negara yang stabil dan disukai dianggap selamat manakala negara yang digambarkan gagal atau bermasalah seperti Venezuela menjadi sasaran campur tangan. Label seperti “narco-state” atau “autokratik” bukan neutral; ia adalah mekanisme pembenaran moral untuk menghalalkan tindakan yang pada hakikatnya adalah permainan kuasa strategik.

Dalam konteks ini, naratif jenayah dan keselamatan menjadi penutup simbolik bagi motif sebenar serangan iaitu penguasaan sumber yang menjadikan Venezuela aset ekonomi dan strategik global. Sumber minyak Venezuela adalah faktor paling kritikal dan dengan simpanan yang melebihi Arab Saudi, negara ini menjadi aset strategik yang amat berharga.

Penguasaan terhadap minyak Venezuela memberi AS keupayaan untuk menyeimbangkan pengaruh China dan Rusia, yang sebelum ini merupakan pembeli utama minyak negara itu. Selepas serangan, eksport minyak ke China dan Rusia terhalang memberi AS peluang mengawal pasaran tenaga global, menentukan harga dan membatasi ruang strategik pesaingnya.

Dari perspektif semiotik, minyak bukan sekadar komoditi; ia adalah simbol kuasa, kedaulatan dan pengaruh sejagat. Setiap tangkapan, pengambilalihan syarikat minyak, atau pengumuman rasmi menjadi tanda yang diterjemahkan oleh dunia sebagai pengukuhan dominasi AS.

Selain minyak, Venezuela kaya dengan lithium dan elemen nadir bumi walaupun kebanyakannya masih mentah dan belum diterokai. Lithium menjadi bahan asas untuk bateri tenaga elektrik dan teknologi bersih manakala nadir bumi digunakan dalam industri pertahanan, elektronik dan telekomunikasi.

Kawalan terhadap sumber ini bukan sahaja memberikan kelebihan strategik jangka panjang dalam sektor tenaga bahkan juga dalam teknologi tinggi, menjadikan AS mampu menandingi atau menghalang China dan Rusia dalam arena teknologi sejagat.  Dari perspektif semiotik, lithium dan nadir bumi menjadi simbol kuasa masa depan; penguasaan sumber ini menegaskan bahawa AS masih merupakan pusat kuasa sejagat yang mampu menetapkan hierarki geostrategik.

Naratif moral barat tentang narkotik dan autokrasi berfungsi untuk menyembunyikan motif sebenar. “Perjuangan menentang dadah” menjadi penanda simbolik sementara minyak, lithium dan nadir bumi adalah makna sebenar.  Tindakan AS bukanlah mengenai keselamatan atau keadilan semata-mata tetapi tentang mengawal sumber yang memberi kuasa ekonomi dan
strategik.

Penangkapan Maduro bukan sekadar menyingkirkan pemimpin; ia menghancurkan simbol kedaulatan yang mengawal sumber strategik, sekaligus menyampaikan mesej bahawa negara yang memiliki sumber berharga tidak boleh menolak kehendak kuasa global. Tindakan ini juga mencipta geopolitik performatif. Dunia tidak hanya menyaksikan serangan fizikal lebih jauh lagi drama simbolik di mana AS meletakkaan diri sebagai hakim, polis dan penguasa pasaran sejagat.

China dan Rusia walaupun berkuasa, kini dibaca dalam naratif global sebagai pihak yang tertakluk kepada strategi AS. Mereka mungkin membeli atau melabur dalam sumber lain tetapi kuasa simbolik telah berpihak kepada AS.  Naratif ini menentukan tafsiran sejagat bahawa penguasaan sumber Venezuela adalah bukti dominasi strategik Amerika.

Pengajaran bagi negara seperti Malaysia jelas. Kedaulatan sebenar bukan hanya soal sempadan atau retorik politik domestik tetapi kemampuan untuk mengawal sumber strategik, mengurus naratif sejagat dan mengekalkan
kebebasan keputusan dalam bidang ekonomi, teknologi dan pertahanan.  Diplomasi yang bijak seperti yang diamalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti digabungkan dengan usaha memperkukuh daya tahan negara: ekonomi yang kukuh, sumber makanan yang mencukupi, teknologi strategik yang dimiliki sendiri dan pertahanan yang bersedia menghadapi
ancaman luaran.

Keberanian retorik atau konfrontasi simbolik tanpa sokongan ekonomi dan sumber strategik hanyalah populisme geopolitik; negara mudah ditulis sebagai sasaran dalam geonaratif sejagat. Serangan ke atas Venezuela juga menegaskan bahawa dunia kini tidak ditentukan sepenuhnya oleh undang-undang antarabangsa atau prinsip moral. Kuasa simbolik dan penguasaan sumber strategik menentukan tafsiran realiti sejagat.

Negara yang gagal menari dalam medan makna dan kuasa strategik akan dilemahkan sebelum sempat mempertahankan dirinya secara fizikal.  Dalam hal ini, AS telah menunjukkan bahawa penguasaan sumber strategik bukan sekadar ekonomi atau ketenteraan sebaliknya tindakan yang membentuk hierarki kuasa global melalui simbol, persepsi dan naratif.
Dalam perspektif semiotik dan naratif, penguasaan AS ke atas Venezuela menunjukkan bahawa negara yang mengawal sumber strategik bukan sahaja mengawal komoditi bahkani juga naratif global dan persepsi kuasa pesaing.

China dan Rusia kini dibaca sebagai pihak yang terhad ruang geraknya, bukan semata-mata kerana kekurangan fizikal tetapi kerana dominasi simbolik AS dalam penguasaan sumber strategik. Dunia membaca penguasaan ini sebagai pengesahan kuasa AS, memperlihatkan bahawa kuasa sebenar bukan hanya soal fizikal atau ekonomi bahkan juga soal siapa yang mampu menetapkan makna sejagat. Akhirnya, pengajaran dari Venezuela adalah jelas: kedaulatan bukan sekadar simbol tetapi bergantung kepada kekuatan nyata dalam ekonomi, makanan, teknologi, dan pertahanan.

Diplomasi yang bijak hanyalah alat untuk melindungi negara sementara kedaulatan sebenar lahir daripada kemampuan mempertahankan sumber strategik sendiri.  Negara yang selamat bukan negara yang paling lantang bersuara atau berani
retorik tetapi negara yang mampu mengimbangi diplomasi, kuasa simbolik, dan kekuatan material untuk memastikan kelangsungan dan kemerdekaan sebenar di pentas antarabangsa.

Dalam dunia yang semakin kompleks, tidak ada kompromi antara kebijaksanaan dan kekuatan; kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk menjadikan negara tahan terhadap tekanan kuasa besar dan lestari dalam sistem global yang tidak  seimbang.

Ismail Hashim Yahaya

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa,
menggabungkan semiotik dan naratif sebagai lensa untuk memahami dan menjelaskan dinamika isu semasa.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast