ISKANDAR PUTERI – Empat mat rempit termasuk remaja ditahan dalam satu operasi khas di Jalan Silat Sinding 7, Taman Mutiara Utama di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menjalankan operasi bersepadu Skuad 42 yang bermula dari 6 petang hingga 8 malam.
“Operasi ini bertujuan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan mat rempit yang masih berdegil melakukan aktiviti berbahaya di jalan raya sehingga mengganggu keselamatan pengguna jalan lain serta ketenteraman awam.
“Hasil operasi, empat lelaki berumur antara 16 hingga 20 tahun telah ditahan kerana melakukan aksi menunggang secara berbahaya yang boleh mengancam nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumarasan menjelaskan, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.
Jika disabitkan kesalahan ujarnya, mereka dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM20,000 serta penggantungan lesen memandu selama dua tahun.
Dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan 33 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Selain itu katanya, sebanyak 13 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pengubahsuaian struktur kenderaan tanpa kelulusan, penggunaan nombor pendaftaran fancy, tidak memiliki lesen memandu, tiada cermin sisi, ketiadaan perlindungan insurans serta pelbagai kesalahan lain,” katanya.
Sehubungan itu, Kumarasan menasihatkan semua ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak remaja mereka, khususnya yang keluar menunggang motosikal pada waktu malam.
“Pemantauan ibu bapa amat penting bagi mengelakkan remaja terjebak dengan kegiatan samseng jalanan yang berisiko tinggi dan boleh mengundang kecederaan serius atau kematian,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras aktiviti lumba haram dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Iskandar Puteri sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette
















