KUALA LUMPUR – Bayaran balik cukai yang telah selesai diproses pada tahun 2025 adalah berjumlah RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes.
Jumlah ini termasuklah peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang telah diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 25 hingga 31 Disember 2025.
Dana tambahan RM3.5 bilion yang diperuntukkan telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia satu ke dua tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menurut LHDNM, pihaknya komited untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama tahun 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung tahun 2026 susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“LHDNM menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul.
“Selanjutnya juga, tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, LHDNM akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS. – MalaysiaGazette
















