Tangkap layar video yang tular memaparkan kemalangan lima motosikal di Jalan Tambak Johor, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang penunggang cuba membuat pusingan U untuk mengambil barang tercicir mengundang padah apabila menyebabkan kemalangan lima motosikal semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan pukul 9.20 pagi itu berlaku di Jalan Tambak Johor menghala ke Singapura dan tular dalam media sosial.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan terkesan dengan penularan video tersebut pukul 10.15 pagi.

“Kemalangan tersebut melibatkan lima penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan dan mereka semuanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

“Ketika kejadian cuaca baik dan lalu lintas sibuk. Semasa kemalangan berlaku, salah seorang penunggang dipercayai sedang berhenti dan membuat pusingan U untuk mengambil barang peribadi yang terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kemudian datang empat motosikal lain yang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.

Menurunya, semua mangsa yang terlibat terjatuh atas tengah jalan dan mengalami kecederaan ringan serta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk menerima rawatan.

Katanya, kes diklasifisasikan bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Raub meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Tambahnya, mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Shahrol Ixuan Salleh 013-7561919 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast