PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengagalkan cubaan seludup alat mainan dewasa, moped bike dan dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta menerusi beberapa operasi hujung tahun lalu.
Pengarahnya, Wan Norizan Wan Daud berkata, sitaan paling banyak adalah alat mainan dewasa melibatkan 18,140 unit bernilai RM800,000 yang dirampas di premis perniagaan di Taman Perindustrian Putra Puchong dekat sini pada 30 September 2025.
Menurutnya, alat tersebut dipercaya diseludup masuk untuk dijual dalam pasaran tempatan menerusi platform dalam talian yang sah.
“Alat mainan dewasa tersebut diklasifikasikan sebagai Barangan Larangan Mutlak di Bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Dipercayai diimport dari negara jiran yang masih dalam siasatan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Wan Norizan berkata, ketika serbuan, pihaknya turut ditahan lelaki berusia 30-an dipercayai pemilik premis tersebut.
Terdahulu, beliau berkata, penyeludupan alat mainan dewasa itu mulai aktif dalam tempoh tiga bulan.
Selain itu turut dirampas 373 unit moped bike berkapasiti 49cc dan skuter elektrik bernilai RM154,626 dalam operasi yang dijalankan pada 20 November lalu di sebuah kontena dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
“Siasatan awam mendapati kontena tersebut membawa masuk dagangan dalam bentuk komponen terlerai dari negara China sebelum pemasangan dibuat di Lembah Klang,” jelasnya sambil berkata, kedua-dua kes disiasat di Bawah Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan rampasan dadah jenis syabu pada 25 November lalu yang dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan secara runcit.

Katanya, dadah berkenaan dimuatkan dalam dua beg kemudian diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta yang diparkir di kawasan rumah pangsapuri di Taman Desa Petaling di sini bagi mengaburi mata dan mengelak penduduk setempat curiga.
“Seorang lelaki warganegara tempatan yang merupakan pemilik kenderaan ditahan susulan penemuan dadah tersebut dan peranan lelaki itu sehingga kini masih dalam siasatan,” ujarnya.
Wan Norizan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















