Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia bersama dua isterinya dibawa keluar sambil diiring pegawai SPRM selepas mendapatkan perintah reman berkait projek perolehan tender ketenteraan, ketika di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing -masing direman tiga dan enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Terdahulu ketiga-tiga mereka yang memakai baju oren dan bergari tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pukul 10 pagi dengan menaiki dua kenderaan milik SPRM.

Sementara itu, peguam mewakili bekas PTD, Nizamuddin Hamid memaklumkan anak guamnya masih belum sihat sepenuhnya dan masih dalam proses pemulihan.

“Pihak kami memberi ruang untuk pihak SPRM melakukan siasatan dan kami juga telah memohon kepada mahkamah agar anak guamnya mendapat akses kepada peguam semasa siasatan dijalankan.

“Jadi, sekiranya Tan Sri perlukan khidmat peguam dia boleh maklum pada SPRM , SPRM akan telefon kami dan kami akan hadir,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses reman berkenaan.

Pada masa sama, Nizamuddin berkata, pihaknya turut memohon pada mahkamah untuk pemeriksaan kesihatan berkala ke atas anak guamnya yang mengalami masalah darah tinggi.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan tiga individu itu ditahan untuk proses reman ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar 3 petang semalam.

Selain tiga individu itu, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman tujuh hari semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai kanan ATM.

Ia menjadikan seramai lima individu ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat beberapa individu lain dikenal pasti SPRM terbabit dalam rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat.

Petunjuk terbaharu itu diketahui dalam siasatan agensi berkenaan terhadap beberapa projek tender perolehan Tentera Darat yang sedang giat dijalankan SPRM sejak beberapa minggu lalu.

SPRM juga menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember 2005, SPRM telah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast