PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti semula keperluan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau mendedahkan, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan mengkaji kesesuaian dan impak peperiksaan tersebut, selain turut menilai keberkesanan sistem sedia ada.
Katanya, kajian semula itu mengambil kira permintaan ibu bapa yang masih mahu peperiksaan terbabit dipertimbangkan semula.
“Peperiksaan (UPSR dan PT3) masih menjadi polemik dalam masyarakat.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad, memberikan pandangan profesional. Ahli-ahli MPPK akan membincangkannya secara menyeluruh,” kata Fadhlina pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2026 di KPM di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, dapatan dan cadangan daripada kajian itu akan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Untuk makluman, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan pada tahun yang sama sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 2022.- MalaysiaGazette
















