KOTA TINGGI – Seorang guru cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 37, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan pukul 12.45 tengah hari melibatkan motosikal jenis Honda RSX dan kereta Perodua Bezza.
“Siasatan mendapati, kemalangan melibatkan Honda RSX ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Easter di sini dengan Perodua Bezza dipandu lelaki warga tempatan sebaya.
“Ketika tiba di lokasi kereta terbabit telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.
“Penunggang mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda tRM5,000 hingga RM10,000 dan boleh juga dipenjara sehingga 12 bulan.- MalaysiaGazette
















