Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mempersoalkan tahap ketelusan mekanisme pemilihan penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ 2026).

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, BKJ 2026 dan juga pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) perlu dilakukan secara telus yang benar-benar melibatkan golongan sasar tanpa banyak masalah.

“Walaupun BKJ 2026 boleh dianggap sebagai usaha prihatin kerajaan negeri, hakikatnya ia hanya memberi kelegaan jangka pendek tanpa menyentuh masalah struktur ekonomi rakyat Johor.

“Golongan M40 khususnya semakin terhimpit dengan peningkatan harga makanan, perumahan, pendidikan dan pengangkutan, namun masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan kerana kriteria yang tidak jelas dan pelaksanaan yang tidak inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pejuang Johor turut menerima banyak aduan  ramai rakyat tercicir daripada bantuan akibat kekangan celik digital, kekurangan maklumat serta proses permohonan yang rumit dan mengelirukan.

Keadaan itu katanya, amat membimbangkan kerana bantuan yang sepatutnya membantu rakyat akhirnya hanya dinikmati oleh sebahagian kecil golongan yang lebih arif dengan sistem permohonan.

Suraya mendakwa, pelaksanaan PJRM juga gagal menjadi penyelesaian mampan apabila penerima seperti warga emas terpaksa beratur panjang dan bersesak, peniaga kecil menanggung kos logistik dan operasi, sementara peniaga runcit tempatan lain terkesan apabila jualan mereka merosot.

BKJ 2026 dan pelaksanaan PJRM ujarnya, hanya sebagai langkah bersifat reaktif, bukan penyelesaian menyeluruh kepada tekanan kos sara hidup yang semakin meruncing.

Pejuang Johor berpandangan kerajaan seharusnya menumpukan kepada penguatkuasaan kawalan harga dan kestabilan bekalan barangan keperluan di seluruh negeri, bukannya bergantung kepada program sementara yang akhirnya membebankan semua pihak.

“Pejuang Johor menegaskan kemakmuran negeri Johor mesti bersifat menyeluruh, adil dan berpanjangan, serta dirasai oleh setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

BKJ 2026 diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026 menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM170 juta yang memanfaatkan lebih 330,000 penerima di seluruh negeri.

PJRM merupakan inisiatif di bawah Payung Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Belanjawan 2025, bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta merancakkan ekonomi sektor peruncitan setempat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast