KUALA LUMPUR – Penganjuran program yang cuba menyuntik elemen budaya songsang, jelas dilarang kerana ia berbentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penggunaan istilah ‘Pride’ yang secara global dikaitkan dengan gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan Islam.
Biarpun, program glamping dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal, penganjurannya adalah jelas dilarang agama lebih-lebih lagi di Malaysia yang meletakkan agama Islam pada kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak penganjur membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.
“Individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti ini perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan.
“Namun jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah,” ujarnya.
Beliau terpanggil untuk memberikan teguran dan bimbingan tersebut menerusi perkongsian Tinta Mufti yang disiarkan di media sosial hari ini.

Semalam, portal ini melaporkan, Program Glamping With Pride di Hulu Langat yang dijadual berlangsung minggu depan, berada dalam pemantauan rapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam.
Ahmad Fauwaz selanjutnya berkata, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengambil maklum mengenai penularan penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dikesan mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang.
Menurut beliau, dari perspektif Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.
Jelas beliau, ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.
“Bahkan tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ (perkara keji) dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.
Menurut mufti berkenaan, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan.
Ujarnya, pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
Ahmad Fauwaz selanjutnya menyeru masyarakat agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda.
“Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















