Ahmad Maslan selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka SK Kampong Jawa, Pontian, hari ini

PONTIAN – Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) di ibu pejabat kementerian itu dan di semua pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi menyelaras maklumat dan pemantauan di kawasan banjir.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, setakat ini pihak kementerian masih dalam proses mengumpul dan menilai data lengkap berkaitan tahap kerosakan yang berlaku akibat banjir baru-baru ini.

“Kita masih belum mentafsir nilai keseluruhan kerosakan infrastruktur akibat bencana banjir yang melanda beberapa negeri di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Namun kementerian ini memberi jaminan bahawa peruntukan khas kecemasan telah disediakan bagi kerja-kerja pembaikan segera jalan raya yang terjejas,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Jawa di sini hari ini.

Beliau memberitahu, melalui BigBen akan dikumpulkan segala maklumat berkaitan jalan rosak, kawasan yang dinaiki air serta kesan banjir di mana-mana lokasi.

Jurutera daerah juga katanya, sentiasa aktif memantau keadaan jalan dan melaporkan sebarang kerosakan yang memerlukan tindakan segera.

Beliau menegaskan, walaupun penilaian menyeluruh masih belum dimuktamadkan, KKR sudah menyediakan bajet khas kerosakan kecemasan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan awal dapat dilaksanakan tanpa kelewatan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Mengenai kejadian banjir baru-baru ini, beliau berkata, beberapa negeri dilaporkan terjejas termasuk Sabah dan Sarawak, justeru keutamaan KKR ketika ini adalah memastikan akses jalan utama dan laluan penting dapat berfungsi seperti biasa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan pembinaan dewan terbuka baharu di SK berkenaan melibatkan kos sebanyak RM200,000 yang diperuntukkan melalui Parlimen Pontian.

“Projek ini bermula minggu depan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan yang akan memberi manfaat besar kepada murid serta penduduk kampung untuk pelbagai aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan,” tambahnya.

Beliau berharap kemudahan tersebut dapat menjadi pusat aktiviti komuniti setempat dan menyokong pembangunan sosial di kawasan berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast